Orang Asli Bateq jemput Bossku ke Kuala Koh - Utusan Malaysia

Orang Asli Bateq jemput Bossku ke Kuala Koh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Bukan mudah untuk Orang Asli suku Kaum Bateq di Kuala Koh, Gua Musang melupakan kesedihan apabila satu-persatu ahli keluarga, saudara-mara dan jiran tetangga meninggal dunia di depan mata akibat serangan demam campak, baru-baru ini.

Namun, kata-kata semangat serta keprihatinan ditunjukkan Datuk Seri Najib Tun Razak sedikit sebanyak menjadi terapi jiwa buat sembilan wakil masyarakat itu yang berpeluang bertemu bekas Perdana Menteri hari ini.

Rombongan istimewa dari Kuala Koh tersebut bertemu dan beramah mesra dengan Najib serta para kepemimpinan UMNO dan Pas dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bertempat di Bangunan UMNO Kelantan, di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…
RAINA ANJANG
RAINA ANJANG 

Penghulu Kampung Kuala Koh, Raina Anjang berkata, dia dan rakan-rakan lain teruja diberi peluang berbual sendiri dengan bekas pemimpin nombor satu negara itu yang mereka gelar sebagai ‘Bossku’.

“Bossku ucap takziah dan beri kata-kata semangat supaya kami semua tabah. Dia juga nasihatkan kami supaya kekal bersatu padu supaya masyarakat kami di Kuala Koh menjadi kuat dan suara kami sentiasa didengari oleh kerajaan.

“Saya ada jemput Bossku datang ke kampung kami dan dia kata kalau ada ruang dan kelapangan, Insya-Allah dia akan pergi menziarahi kami,” katanya ketika ditemui dalam majlis tersebut.

Majlis yang dihadiri hampir 1,000 tetamu itu turut diserikan dengan kehadiran rombongan dari Pas yang diketuai Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Abdullah Ya’kub.

Dalam pada itu, Raina memberitahu, penduduk Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh kini kembali mengambil air dari tandak atau tadahan bukit ekoran air bersih disediakan pihak berkuasa sejak dua minggu lalu sudah terputus bekalan.

“Air dari tangki disediakan Air Kelantan. Sdn. Bhd. (AKSB) sudah habis beberapa hari lalu, manakala air boring tidak beroperasi kerana pegawai bertugas sedang bercuti. Jadi kami bergantung kepada air tandak sahaja buat masa ini,” katanya.

Raina turut memberitahu, setakat ini mereka masih belum dapat menjalani rutin asal seperti mengembara mencari hasil di hutan kerana dinasihatkan oleh pihak berkuasa supaya tidak keluar merayau jauh dari kawasan penempatan mereka. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini