MCPF rayu kerajaan beri perhatian isu kuarters polis daif - Utusan Malaysia

MCPF rayu kerajaan beri perhatian isu kuarters polis daif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) merayu kerajaan agar memberikan keutamaan dalam menyediakan kemudahan perumahan yang lebih selesa kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, masih ada anggota polis terutama yang berpangkat rendah terpaksa menghuni kuarters daif.

“Saya melawat kuarters di Balai Polis Kuala Kedah pada pagi tadi dan mendapati keadaannya sangat daif serta tidak lagi selesa untuk didiami.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kuarters yang dibina pada tahun 1969 ini dikatakan mengalami banyak masalah seperti bumbung dan paip bocor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil pelantikan Ahli Jawatankuasa MCPF negeri ini dan Sambutan Hari Raya Aidilfiti yayasan tersebut di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Polis negeri, Datuk Zainuddin Yaacob.

Kata Lam Thye, beliau percaya masalah sama turut berlaku di seluruh negara terutama balai polis yang terletak di kawasan pedalaman.

“Saya lihat bangunan kuarters lama seperti di Balai Polis Kuala Kedah ini perlu diroboh dan dibangunkan semula,” ujarnya.

Menurut beliau, aspek kebajikan anggota polis perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan bagi memastikan pihak berkuasa itu terus dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

“Selain isu kuarters daif, saya juga berharap agar kerajaan dapat mengkaji semula elaun imbuhan tetap perumahan berjumlah RM300 sebulan setiap anggota sesuai dengan perkembangan semasa,” jelasnya.

Tambahnya, pihaknya akan menghantar satu memorandum berhubung isu kebajikan anggota PDRM termasuk kuarters daif kepada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dalam masa terdekat ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini