MELAKA – Dianggarkan hanya 10 peratus usahawan di negeri ini yang berminat melibatkan diri dalam bidang pertanian walaupun potensinya sangat besar bagi tempoh jangka panjang.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee berkata, kekurangan penglibatan usahawan dalam bidang itu terutamanya usahawan muda disebabkan kekangan untuk memiliki tanah atau kawasan luas bagi memajukan sesuatu projek pertanian.
Menurutnya, walaupun ramai yang berminat untuk menceburi bidang berpotensi besar itu namun kekangan daripada segi pemilikan tanah, modal serta kepakaran membuatkan mereka melupakan hasrat tersebut dan mencuba bidang lain.
“Bidang pertanian kurang penglibatan usahawan sebab mereka tidak nampak lagi pertanian itu satu perusahaan yang diperlukan sepanjang hidup. Semua orang perlukan makanan, malah permintaannya akan terus meningkat pada masa depan sebab kita perlukan banyak produk pertanian.
“Namun begitu, disebabkan kekangan tersebut, pertanian di negeri ini hanya boleh dibangunkan dengan bantuan teknologi seperti tanaman fertigasi. Masih ramai kurang yakin kerana bila gunakan teknologi, mereka perlukan kewangan dan kepakaran yang dianggap memerlukan modal tinggi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Hari Terbuka syarikat Meeracle Cawangan Melaka di Taman Semabok Emas, di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Damian Yeo Shen Li; Pengasas Meeracle Melaka Outlet, Nazariah Anaz dan Ketua Pegawai Eksekutif Meeracle Melaka Outlet, Mohd. Amin Ja’afar.
Sementara itu, Nazariah memberitahu, karnival julung kali dianjurkan pihaknya bertujuan memberi peluang perniagaan kepada bakal usahawan di negeri ini di samping mencari wakil-wakil jualan baharu untuk dibantu menjadi usahawan.
“Meeracle berharap majlis ini bukan sahaja dapat menarik ramai warga Melaka untuk singgah tetapi juga memberi manfaat serta ilmu baharu kepada wakil jualan serta pelanggan,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE











