KOTA BHARU – Syarikat Celcom Axiata Berhad memperuntukkan hampir RM500,000 bagi menaja program tuisyen percuma Pintar Harapan @KPLB anjuran Yayasan Pelajaran Mara (YPM) pada tahun ini.
Ketua Pegawai Korporat Axiata, Zuraida Jamaludin berkata, peruntukan itu melibatkan penajaan di 14 buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara yang menjadi pusat tuisyen kepada pelajar terlibat iaitu daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).
Beliau berkata, pihak Celcom Axiata mula menyokong program itu sejak tiga tahun lalu dan berbangga kerana usaha mereka telah menjadi pemangkin menarik ramai lagi penaja lain untuk terlibat sama.
“Program tuisyen percuma kepada pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini memenuhi sebahagian agenda tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk meluaskan kesaksamaan masyarakat dalam bidang pendidikan.
“Ia berkonsepkan kelas tuisyen secara berpusat di sekolah-sekolah terpilih termasuk MRSM sebagai tuan rumah yang disertai 100 pelajar dari kawasan sekitar yang mendapat peluang bimbingan terus secara sistenatik daripada guru-guru pakar Kementerian Pendidikan dan Mara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menutup Program Pintar Harapan @ KPLB anjuran YPM dengan kerjasama MRSM Pengkalan Chepa; Jabatan Pelajaran negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan Dana YPM, Zainal Rashid Zakaria dan Timbalan Pengetua Pembangunan Pelajar MRSM Pengkalan Chepa, Ahmad Hisyam Mustafa.
Seramai 100 pelajar dari 10 buah sekolah menyertai program selama tiga bulan bermula April iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 1; SMK Pengkalan Chepa 2; SMK Panji; SMK Sering; SMK Kemumin; SMK Badang; SMK Kedai Buloh; SMK Penambang; SMK Raja Sakti dan SMK Tengku Amalin Aishah Putri.

Sementara itu, Zuraida berkata, keputusan SPM pelajar-pelajar yang terlibat dalam program itu sebelum ini amat membanggakan apabila menunjukkan peningkatan dan beliau berharap kejayaan serupa dapat dicapai pelajar tahun ini.
“Pada tahun lalu kita cuba terapkan elemen digital dalam program melalui pembangunan sebuah portal mengandungi profil pusat tuisyen seperti guru, akses kepada jadual tuisyen dan maklum balas e-pembelajaran serta keputusan ujian dan peperiksaan,” katanya.
Dalam pada itu, Zainal Rashid berkata, YPM amat mengalu-alukan penglibatan pelbagai syarikat korporat dalam program itu khususnya Celcom Axiata yang menyokong sejak dari awal lagi.
Beliau berkata, program yang dahulunya dikenali dengan nama Tuisyen Rakyat telah memberi manfaat kepada 51,935 pelajar sejak ia dimulakan pada 2016.
“Pada tahun ini, YPM merancang melaksanakan program ini di 112 pusat seluruh negara yang terdiri daripada 72 pusat SPM dan 40 pusat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) melibatkan 11,020 pelajar secara keseluruhan,”katanya.

Sementara itu, salah seorang pelajar, Nor Balqis Che Mat Yasin, 17, dari SMK Badang berkata, inilah kali pertama dia menyertai tuisyen luar dari yang dianjurkan guru di sekolah.
Anak kepada penjual nira nipah ini berkata, pelbagai maklumat baharu diperolehi selama tiga bulan lalu dan yakin ia boleh membantunya menjawab peperiksaan dengan lebih baik kelak.
“Saya antara 10 pelajar sekolah saya yang terpilih menyertai tuisyen ini selepas mencatat keputusan baik dalam peperiksaan akhir Tingkatan Empat tahun lalu, cikgu sudah berpesan dahulu supaya buat yang terbaik jika mahu sertai program ini,”katanya. – UTUSAN ONLINE










