IPOH – Polis Perak mengenal pasti antara punca utama kes kanak-kanak dan remaja di bawah 18 tahun hilang di negeri itu dalam tempoh 2010 hingga Mei lalu adalah disebabkan pengaruh rakan serta mengikut kekasih selain perselisihan dalam keluarga.
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, daripada 32 kes hilang yang dilaporkan di negeri Perak itu, sebanyak 24 kes berjaya diselesaikan manakala bakinya masih dalam siasatan atau belum dijumpai.
“Antara punca yang berjaya dikenal pasti berdasarkan siasatan yang dilakukan mengikut kes kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun itu ialah pengaruh rakan, mengikut kekasih dan perselisihan yang berlaku di dalam keluarga mereka.
“Selain itu, faktor lain yang boleh dikaitkan dengan kes hilang kanak-kanak ini ialah ingin mencari kebebasan dan pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Tambah Razarudin, pihaknya memandang serius kes kehilangan kanak-kanak ini bagi mengelakkan mereka dikaitkan dengan pemerdagangan manusia.
Katanya, antara tindakan yang telah diambil polis termasuk menyiarkan gambar dan butiran mangsa yang hilang menerusi platform media, tempat-tempat awam dan semua pintu keluar di sempadan negara.
“Polis mengalu-alukan pembabitan pelbagai pihak termasuk orang ramai dalam membantu menyalurkan maklumat menerusi Sistem Amaran Awal Kehilangan Kanak-Kanak yang dikenali sebagai Nur Alert.
“Ia berperanan sebagai pusat pengumpulan dan penyebaran maklumat mengenai kehilangan kanak-kanak di bawah 12 tahun,” katanya.
Katanya lagi, maklumat mengenai kehilangan kanak-kanak juga boleh disalurkan melalui portal kanak-kanak hilang di laman rasmi Polis Diraja Malaysia bagi kes kehilangan kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun.
“Polis turut melakukan kajian semula terhadap siasatan orang hilang yang gagal ditemui pada setiap enam bulan bagi mendapatkan perkembangan kes atau petunjuk baru,” katanya. – K! ONLINE










