KUALA LUMPUR – Sehari selepas menerima pengiktirafan The Brandlaureate Book Of World Records, Datuk Lee Chong Wei menyuarakan impian untuk melihat satu hari nanti ada orang yang mampu memecahkan rekodnya.
Bagaimanapun kata legenda badminton negara itu, pemecah rekod baharu itu biarlah dari Malaysia dan lebih hebat daripadanya.
“Terima Kasih The Brandlaureate Book Of World Records untuk anugerah ini. Ia sangat bermakna buat saya.
“Saya amat berharap, pemain yang bakal pecah record saya ini nanti pun anak Malaysia, yang lagi terrer (hebat), lagi mantap, maybe (mungkin) lagi hensem (kacak),” katanya dalam media sosial sambil disertakan emoji ketawa.
Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu menerima pengiktirafan atas pencapaian muncul satu-satunya pemain badminton yang menduduki ranking No. 1 dunia selama 348 minggu (6 tahun, 8 bulan).
Malah, dia juga pernah berada di takhta teratas dunia dalam acara perseorangan lelaki selama 199 minggu berturut-turut, selain memenangi 69 gelaran individu.
Chong Wei, 37, yang mengumumkan persaraan pada 13 Jun lalu menerima anugerah tersebut dalam majlis yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara. – UTUSAN ONLINE










