Pamer tanda larangan merokok atau bakal disaman - Utusan Malaysia

Pamer tanda larangan merokok atau bakal disaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Pihak Kementerian Kesihatan hari ini mengingatkan pengusaha kedai makan agar mempamerkan tanda larangan merokok di premis perniagaan mereka, kerana mereka berdepan dengan tindakan saman, sekiranya gagal berbuat demikian, bermula 1 Januari tahun hadapan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, justeru dalam tempoh aktiviti penguatkuasaan pendidikan larangan merokok di premis makanan yang dilanjutkan sehingga Disember ini, ia bukan sahaja perlu dimanfaatkan golongan perokok tetapi juga pengusaha kedai makan.

“Dari segi pematuhan premis untuk mempamerkan tanda larangan merekok agak tinggi, kita sudah buat pemeriksaan di 111,042 premis makanan dan antaranya hanya 26,357 yang tidak mempamerkan notis larangan merokok ini, kebanyakkannya patuh.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Buat sementara waktu ini kita cuma bagi amaran kerana kita masih di peringkat penguatkuasaan pendidikan tetapi tahun hadapan sekiranya masih terdapat premis yang gagal mematuhi arahan ini, kita akan ambil tindakan saman,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Negeri Sembilan Presidangan Saintifik Kesihatan Oral 2019 di sini hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad pada 25 April lepas mengumumkan tempoh aktiviti penguatkuasaan pendidikan di tempat makan yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok dilanjutkan selama enam bulan lagi iaitu sehingga Disember ini.

Lee dalam pada itu turut menggalakkan mana-mana pengusaha kedai makan yang secara sukarela menghentikan penjualan rokok di premis mereka dan memberikan tumpuan kepada ‘core business’ mereka seperti yang dilakukan restoran Pelita.

“Kita sebelum ini pernah mempertimbangkan untuk mendaftar premis yang menjual rokok tetapi perkara itu masih belum ada keputusan bagaimanapun sudah ada premis yang secara sukarela menghentikan penjualan rokok di premis mereka, ini amat kita galakkan kerana mereka (pengusaha) seharusnya menumpukan core business mereka.

“Memang kita gembira bila restoran ambil tindakan atau inisiatif berhenti jual rokok sebab kita sebenarnya berharap rokok ini tidak begitu senang untuk diakses perokok khususnya perokok yang masih remaja,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini