KUALA LUMPUR – Seramai 151 petugas Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) bagi membuat persiapan sempena musim haji tahun ini selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah, Arab Saudi, Khamis lalu.

Ketibaan kumpulan petugas yang disambut Konsul Haji Malaysia di Jeddah, Mohammad Saimi Mat Som itu merupakan rombongan kedua petugas awal Tabung Haji adalah sebahagian daripada 640 orang petugas bagi membuat persiapan menyambut ketibaan jemaah haji yang bakal tiba minggu hadapan.
Menurut Mohammad Saimi, para petugas berkenaan yang tiba dengan berpakaian ihram telah menunaikan umrah sebelum bergerak ke sektor masing-masing di Mekah dan Madinah, semalam.
Katanya, suasana di dua tanah suci itu masih lengang kerana jemaah haji dari seluruh dunia hanya akan memasuki Mekah dan Madinah secara berperingkat bermula 1 Zulkaedah bersamaan 4 Julai nanti.
“Cuaca pada musim haji tahun ini dijangka panas dengan suhu terkini sudah mencecah 32 hingga 47 darjah Celcius dan merupakan cabaran bagi 30,200 jemaah haji Malaysia sepanjang mengerjakan haji.
“Kumpulan petugas lain akan tiba secara berperingkat bersama jemaah haji bermula 4 Julai hadapan dengan Tabung Haji menyediakan sebanyak 62 penerbangan sewa khas yang akan membawa jemaah sehingga 4 Ogos 2019,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











