KUALA LUMPUR – Cubaan tiga wanita menyeludup rokok gagal selepas ditahan polis ketika menaiki bas di Batu 3, Jalan Apas, Tawau, Sabah semalam.
Ibu pejabat Polis Daerah Tawau dalam satu kenyataan berkata, ketiga-tiga wanita itu ditahan selepas dilihat mencurigakan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik daerah tersebut semasa menjalankan tugas.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 48 karton rokok pelbagai jenama.
“Tiga wanita berkenaan yang menaiki bas dari stesen bas hadapan Taman Berjaya dilihat membawa beberapa bungkusan mencurigakan ketika menaiki sebuah bas.
“Pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan tersebut menemukan kira-kira 48 karton dipercayai rokok seludup pelbagai jenama dalam simpanan mereka,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, ketiha-tiga suspek dan barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(e)(1) Akta Kastam.
“Polis Daerah Tawau ingin menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti jenayah termasuk penyeludupan kerana tindakan undang-undang menanti pesalah yang melakukan kesalahan,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE











