GUA MUSANG – Pergolakan yang berlaku dalam parti pemerintah iaitu gabungan Pakatan Harapan (PH) ketika ini diakui menguntungkan parti pembangkang.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata, apabila bergolak dan sering bercakaran, situasi itu secara tidak langsung membuktikan kelemahan kerajaan PH.
“Rata-rata rakyat tidak puas hati, mereka rasa terperdaya dengan janji-janji yang tidak mampu dilaksanakan oleh kerajaan PH. Dalam masa sama mereka masih ingat jasa BN.
“Ketika ini kita berjaya mengatasi kelemahan yang ditonjolkan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pejabat operasi Pusat Khidmat ADUN Galas dan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Gua Musang (Peka GM) di Bandar Utama di sini, petang semalam.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim; ADUN Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff, dan ADUN Paloh, Amran Arifin.
Dalam hal lain, Tengku Razaleigh juga menjangkakan ekonomi negara bertambah buruk pada tahun hadapan.
Katanya, perkara itu kerana tiada usaha daripada pihak kerajaan untuk memulihkan masalah itu.
“Kos barangan naik, ringgit pula jatuh. Tetapi kerajaan tak ada cadangan… Nampaknya rakyat hanyut bersama-sama dengan masalah yang dibawa kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











