PUTRAJAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya menjelaskan, prioriti segera beliau sejak mengambil alih tugas adalah melibatkan beberapa kes rasuah yang serius dan bukan butiran pemakaian seragam.
Beliau bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah menunjukkan minat yang tinggi terhadap pakaian seragam beliau.
Jelas Latheefa, pemakaian bar ribbon yang dikepilkan pada pakaiannya adalah berdasarkan Perintah Tetap Ketua Pesuruhjaya SPRM Bab A (Dasar), Bil 1 Tahun 2012.
“Perintah itu telah mengarahkan seseorang Ketua Pesuruhjaya berdasarkan jawatannya dikehendaki memakai bar ribbon seperti yang disenaraikan.
“ Walaupun pada asasnya ia adalah betul dan boleh diterima, namun terdapat sedikit kekhilafan dalam bar ribbon yang kini telah pun diperbetulkan,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Latheefa membuat kenyataan itu bagi menjelaskan butiran pada pakaiannya selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM yang dilaporkan telah menimbulkan persoalan kepada pihak tertentu termasuk parti politik.
Menurut Latheefa lagi, beliau tidak memakai pingat sebagaimana yang diperkatakan oleh beberapa pihak.
“Bar Ribbon ini tidak harus dikelirukan dengan pingat atau darjah kebesaran yang dikurniakan dari pihak Istana, sama ada di peringkat Persekutuan mahupun di peringkat negeri,” jelasnya.
Jelas Latheefa lagi, butiran lain di atas baju seragam beliau adalah lencana-lencana pangkat yang beliau dikehendaki memakainya sebagai Ketua Pesuruhjaya dan ia adalah berdasarkan perintah tetap.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini dilaporkan meminta SPRM memperincikan bintang kebesaran ketua pesuruhjaya badan itu yang mula dipertikaikan warga maya.
“Mungkin atas prinsip integriti, akauntabiliti dan transparensi badan yang penting ini, SPRM boleh perincikan bintang kebesaran KP SPRM yang beliau pakai pada pakaian rasmi SPRM,” katanya
Annuar dilaporkan berkata demikian dalam akaun Twitter miliknya ketika mengulas kritikan seorang pengguna media sosial yang menyebut: “Gila apa, uniform ‘full’ siap pangkat dengan pingat bagai. Kau bertauliah ke?”
Antara kritikan lain dalam alam maya termasuk berkaitan jumlah pingat dipakai Latheefa serta berkaitan bar perkhidmatan yang hampir penuh. – UTUSAN ONLINE











