ALOR SETAR – Dua lagi kes chikungunya dikesan di deretan rumah kedai berhampiran City Plaza di sini menjadikan jumlah keseluruhan individu yang disahkan positif penyakit itu seramai 30 orang.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, lokaliti wabak yang kedua iaitu di Simpang Kuala di sini pula tidak menunjukkan sebarang pertambahan dan kekal sebanyak tujuh kes.
“Keadaan kesemua individu yang dijangkiti adalah stabil,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, walaupun terdapat peningkatan kes dalam wabak tersebut, siasatan menunjukkan bahawa semua kes terdedah kepada jangkitan sebelum aktiviti kawalan dilaksanakan berdasarkan tarikh gejala bermula.
“Aktiviti kawalan vektor di Simpang Kuala yang bermula pada Selasa lalu diteruskan sehingga Khamis lalu,” ujarnya.
Tambahnya, sebanyak 97 premis telah diperiksa di sekitar Simpang Kuala dan 12 kompaun dikeluarkan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 dengan nilai RM6,000 kepada pemilik premis yang membiak aedes.
Kosmo! Online kelmarin melaporkan wabak chikungunya di deretan rumah kedai berhampiran pusat beli-belah City Plaza dan Simpang Kuala di sini terus meningkat apabila sebanyak 35 pesakit disahkan mengalami penyakit itu. – K! ONLINE











