KULIM – Selepas bercuti panjang, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membuat kemunculan semula dengan berada di pentas ceramah penyatuan ummah bersama pemimpin Pas dan UMNO negeri di Padang Taman Sena, Labu Besar di sini, malam tadi.
Ceramah yang dihadiri ribuan penyokong Pas dan UMNO itu turut disertai oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Sanusi Mohd. Nor; Pendakwah, Ahmad Husam Baderudin dan pemimpin-pemimpin setempat.
Di awal ucapan, Ahmad Zahid yang kelihatan bersemangat mengucapkan terima kasih dan menghormati keputusan Muktamar Pas baru-baru ini yang sebulat suara meluluskan ta’awun siyasi atau kerjasama politik secara rasmi dengan UMNO.
Seterusnya beliau memberi jaminan bahawa piagam UMNO dan Pas wajib dipersetujui dan ditandatangani sebagai baiah secara rasmi kerjasama antara kedua-dua parti tersebut.
Kerjasama itu, kata Ahmad Zahid perlu terus diperkukuhkan seterusnya merampas kembali Putrajaya termasuk negeri ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut menyeru kepada ahli UMNO supaya mempelajari budaya Pas antaranya tidak terlalu selesa dengan keadaan semasa, kerana parti itu bukan lagi kerajaan pada masa ini.
“Kalau perlu kutip derma, jangan malu, kita bukan ada duit. Tidak ada duit buat cara tidak ada duit. Kalau tidak ada duit, tidak perlu buat majlis, jamuan besar-besar.
“Saya juga bersyukur, melihat dulu mana ada orang UMNO dengar ceramah atas tikar, apatah lagi rumput sekarang kita belajar semua itu,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid juga menyentuh mengenai hubungan UMNO, MCA, MIC yang terus kekal bersama di dalam Barisan Nasional (BN) di saat susah dan senang.
“Manakala komponen-komponen lain sudah meninggalkan kita. Jika saya masih jalankan tugas Pengerusi BN ini, kita akan jaga MCA dan MIC ini selain kawan-kawan lain yang bersama kita,” katanya.
Di akhir ucapan, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa kedatangan beliau ke negeri ini bukan yang terakhir tetapi akan kembali lagi bagi membantu parti itu dan Pas kembali merampas Kedah dalam pilihan raya akan datang. – UTUSAN ONLINE











