'Kalau RM1, RM2 logik lah tidak tahu' - Utusan Malaysia

‘Kalau RM1, RM2 logik lah tidak tahu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM – Jawapan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang tidak tahu mengenai dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disalurkan ke akaun UMNO Kedah semasa beliau menjadi Pengerusi Badan Perhubungan parti itu sungguh menghairankan.

Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Sanusi Mohd. Nor berkata, adalah mustahil Mukhriz sebagai Pengerusi UMNO Kedah pada masa itu tidak tahu mengenai kemasukan wang yang dikatakan mencecah jutaan ringgit.

“Kalau duit masuk RM1 atau RM2 tidak apalah sekiranya tidak tahu. Ini UMNO Kedah pada masa itu dikatakan terima lebih RM1 juta, dia (Mukhriz) boleh kata tidak tahu,” katanya ketika berceramah dalam program penyatuan ummah di Padang Taman Sena, Labu Besar di sini, malam tadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Yang turut hadir, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Pendakwah, Ahmad Husam Baderudin dan pemimpin-pemimpin setempat.

Baru-baru ini, Mukhriz yang pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri sebelum ini, mengakui tidak tahu mengenai dana 1MDB yang disalurkan ke akaun UMNO Kedah.

Beliau yang juga Menteri Besar dilaporkan berkata, segala urusan berkaitan dana ketika itu diserahkan sepenuhnya kepada Bendahari UMNO negeri, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Sebelum itu, Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya mengumumkan agensi itu telah memfailkan permohonan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) untuk lucut hak bagi tujuan mendapatkan semula wang-wang yang mengalir keluar dari salah guna kes 1MDB.

Pihak SPRM sudah mengenal pasti 41 orang individu dan entiti yang menjadi responden kepada permohonan tersebut.

Menerusi tuntutan tersebut agensi itu mahu menuntut semula wang sebanyak RM270 juta yang dikatakan telah diberikan kepada pelbagai pihak termasuk Badan Perhubungan UMNO Kedah.

Tambah Muhammad Sanusi, selain Mukhriz, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal juga masing-masing pernah menjadi Pengerusi UMNO Johor dan Sabah yang dikatakan turut menerima dana 1MDB.

“Bagaimanapun Lim Guan Eng (Menteri Kewangan) sudah memaklumkan mereka tidak terima. Kawan dia buat apa pun tidak apa meskipun Kedah, Sabah dan Johor ada dalam senarai,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini