Anak muda tunggu PRU-15 hukum PH - Utusan Malaysia

Anak muda tunggu PRU-15 hukum PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Dewan Pemuda Pas yakin golongan muda kini hanya menunggu masa dan menanti Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi menghukum kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ketuanya, Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, dalam konteks pilihan raya lalu tidak dinafikan sememangnya anak muda mengundi PH kerana terpengaruh dengan janji manisfesto selain isu membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun katanya, golongan muda pada masa ini melihat mereka telah ditipu selepas PH gagal menunaikan pelbagai janji seperti menghapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan memansuhkan tol.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebelum ini, mereka (anak muda) percaya pada manifesto dan kes 1MDB yang turut dikaitkan dengan Pas. Asasnya sekarang adakah anak muda melihat perkara itu berlaku?

“Mereka kini sedang menunggu masa PRU-15 untuk menghukum PH,” katanya ketika ditemui selepas majlis Sambutan Hari Guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di salah sebuah hotel di sini, malam tadi.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Yang turut hadir, Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli; Ketua Pengarah Pasti, Mohd. Azam Abdul Samad; Ketua Majlis Guru Pasti, Saadiah Abu Bakar dan Pengarah Pasti negeri, Asrul Aimran Abd. Jalil.

Sementara itu, Khairil Nizam berkata, pihaknya akan menarik golongan muda melalui pendekatan perpaduan nasional dan bukan perkauman seperti digembar-gemburkan oleh PH.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini