Pas, UMNO sedia sebarang kemungkinan - Utusan Malaysia

Pas, UMNO sedia sebarang kemungkinan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Kerjasama Pas dan UMNO bukan sahaja tertumpu kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sebaliknya turut sedia dengan sebarang kemungkinan membabitkan perkembangan politik semasa sebelum pilihan raya tersebut.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pelbagai kemungkinan dijangka berlaku sebelum PRU-15 khususnya ketika proses peralihan kuasa Perdana Menteri antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan pihak yang hendak sangat menjadi Perdana Menteri itu mungkin akan melakukan sesuatu tindakan bagi merealisasikan hasratnya itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sidang Parlimen bulan depan dijangka mempunyai beberapa pindaan dengan tidak semestinya pihak pembangkang lawan kerajaan.

“Kita juga mendapat maklumat ada pihak kerajaan akan bersama pembangkang dalam percaturan menentukan kuasa di peringkat mereka sendiri,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di salah sebuah hotel di sini, malam tadi.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan kerjasama politik Pas dan UMNO, Takiyuddin memberitahu, jawatankuasa kerjasama membabitkan dua parti itu akan bertemu pada 10 Julai depan.

Katanya, jawatankuasa tersebut akan membincangkan mengenai piagam persefahaman antara kedua-dua parti tersebut.

“Selepas muktamad, memorandum yang menggariskan persefahaman antara dua parti itu akan ditandatangani. Proses bertulis itu adalah bagi tujuan mengelak daripada sebarang pertikaian pada masa akan datang.

“Piagam itu adalah membabitkan perkara-perkara asas kerjasama itu dan apabila semuanya selesai, maka proses pembahagian kerusi dan sebagainya selepas itu tidaklah rumit,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Ahad lalu, Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-65 di Pahang memuktamadkan secara rasmi kerjasama politik dengan UMNO yang sekali gus mengulangi sejarah politik pada 1978.

Parti tersebut turut menetapkan empat panduan bagi menjayakan ta’awun politik dua parti terbesar orang Melayu Islam itu yang antaranya kerjasama itu mesti saling hormat-menghormati dasar parti masing-masing.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini