KUALA LUMPUR – Kemeriahan Syawal terus diraikan dengan penganjuran majlis-majlis sambutan hari raya Aidilfitri.
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wilayah Persekutuan turut tidak ketinggalan menganjurkan majlis seumpamanya yang berlangsung meriah hari ini di Atrium, Asia Pacific University (APU) dekat sini hari ini.
Dihadiri kira-kira 300 jemputan yang terdiri daripada wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan dan pelajar-pelajar APU, majlis turut meraikan anak-anak yatim dan asnaf dari rumah kebajikan, Pertubuhan Dar Asnaf Al-Fateeh, Batang Kali, Selangor.
Pengerusi GPMS Negeri, Wilayah Persekutuan, Khairul Rizam Abu Samah berkata, majlis sambutan Syawal Festival tersebut merupakan penganjuran bersama di antara GPMS Wilayah Persekutuan dan APU.
“Ia turut melibatkan beberapa NGO lain antaranya Briged Sufi, Perubah, Persatuan Asrama Belia Malaysia (MYHA) serta Kolej Islam Antarabangsa.
“Majlis hari ini tentunya meraikan anak-anak yatim dan asnaf dan mereka turut diberikan sumbangan duit raya bagi mengembirakan mereka,” katanya.
Majlis yang diserikan dengan beberapa persembahan pentas itu turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif APU, Datuk Parmjit Singh. – UTUSAN ONLINE











