KUALA LUMPUR – Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang berlangsung esok mungkin diteruskan tanpa mengadakan pemilihan pucuk pimpinan.
Ini kerana ia mengambil kira kenyataan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) yang mengesahkan berlaku ketidakakuran dan pelanggaran peraturan dalam proses pencalonan.
Ia meletakkan status calon Presiden MPM, Khairy Jamaluddin dan empat calon lain dalam kedudukan bahaya.
“PPS pada 25 Jun 2019 telah menerima aduan daripada Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) berhubung bantahan terhadap pencalonan AGM (MPM) yang akan diadakan pada 29 Jun 2019.
“MASCA mendakwa tindakan MPM menerima lima (5) borang pencalonan yang lewat dihantar adalah menyalahi peraturan telah ditetapkan. Presiden MPM melalui kenyataan media pada 18 Jun 2019 telah mengumumkan Lembaga Eksekutif sebulat suara memutuskan bahawa 5 calon terbabit dibenarkan bertanding.
“Perkara ini telah telah menimbul pertikaian di kalangan calon yang bertanding. Justeru itu PPS telah menjalankan siasatan dan memanggil kedua-dua pihak bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara ini,” kata kenyataan tersebut.
PPS bagaimanapun tidak menyatakan sama ada kesemua calon berkenaan dibenarkan bertanding atau tidak kerana keputusan hanya boleh diputuskan oleh MPM, yang sehingga kini mengambil sikap membisu.
Perkembangan semasa itu menguatkan khabar angin bahawa pemilihan esok mungkin dibatalkan dan pencalonan baharu akan dibuka. – UTUSAN ONLINE











