Pasar dadah dalam talian tumpas, 11 suspek diberkas - Utusan Malaysia

Pasar dadah dalam talian tumpas, 11 suspek diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN – Pihak berkuasa Jerman hari ini melumpuhkan pasar dadah dalam talian terbesar di negara itu dengan penahanan seramai 11 suspek dari Jerman, Belanda dan Poland.

Pihak polis dan pendakwa raya dalam satu kenyataan berkata, mereka melakukan penyiasatan lebih setahun untuk menumpaskan pasar dadah tersebut iaitu Chemical Revolution yang menjual dadah jenis amphetamines, kokain, heroin, ganja, ekstasi, LSD dan ubat sintetik lain.

Laman web yang menggunakan transaksi mata wang kripto Bitcoin itu mula beroperasi sejak September 2017 dan dipercayai dikendalikan seorang lelaki warga Jerman berumur 26 tahun. Bagaimanapun, dia telah ditahan sejak Mei lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sementara itu, suspek terbaharu yang ditahan terdiri daripada lapan orang warga Jerman berumur 24 hingga 35 tahun, dua orang Poland berumur 32 dan 44 tahun serta seorang Belanda berumur 43 tahun yang menguruskan tempahan, pembungkusan, penghantaran dan pengedaran bahan terlarang tersebut.

Terdahulu, serbuan pertama polis dijalankan pada awal tahun 2018 dengan memberkas seorang lelaki Jerman di timur Brandenburg yang ditemui dengan sebilangan besar dadah di kediamannya.

Manakala antara bulan Februari dan Mei 2019, penyiasat Jerman yang bekerjasama pihak berkuasa di Poland, Belanda, Perancis dan Sepanyol berjaya menahan 10 lagi suspek.

Kenyataan daripada pihak berkuasa bagaimanapun tidak menyatakan maklumat mengenai jumlah sebenar dadah yang dijual atau hasilnya sebelum laman web tersebut ditutup.

Sementara itu, pada Mei lalu, pihak berkuasa Jerman mengumumkan telah melumpuhkan pasaran gelap dalam talian kedua terbesar, Wall Street Market.

Wall Street Market merupakan laman web yang menjual beli dadah, data curi, dokumen palsu dan perisian berbahaya.

Pasukan penyiasat percaya pengendali Chemical Revolution turut menjual dadah di Wall Street Market. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini