KUALA LUMPUR 28 Jun – Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) telah melancarkan Axia di Seychelles menandakan kemasukan jenama itu ke negara kepulauan berkenaan.
Perodua Axia ditawarkan di sana dalam varian E MT, G AT, SE dan AV, dengan harga promosi masing-masing 235,000 rupee Seychellois (RM71,500); 265,000 rupee Seychellois (RM80,600); 275,000 rupee Seychellois (RM83,700) dan 290,000 rupee Seychellois (RM88,300).
Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Datuk Dr. Zahari Husin berkata, semua varian dikuasakan oleh enjin 1.0 liter 1KR-VE dengan Variable Valve Timing-intelligent yang disambungkan kepada transmisi manual lima-kelajuan bagi varian E MT dan transmisi automatik empat-kelajuan bagi varian lain.
“Kami sangat teruja untuk mengeksport kenderaan ke Seychelles kerana ia memberi peluang kepada kami memperkenalkan jenama Perodua kepada masyarakat berbilang bangsa yang berkunjung ke negara ini untuk bercuti.
“Malah, kami percaya ini akan memanfaatkan pasaran eksport masa hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Perodua telah melantik SF Hybrid Motors Pty. Ltd. sebagai pengedar rasmi di Seychelles bagi mengendalikan jualan dan lepas jualan di sana.
Perodua dan SF Hybrid Motors baru-baru ini telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi memasarkan model Perodua di Seychelles kepada pembeli individu dan fleet.
Di benua Afrika, Perodua juga mengeksport ke Mauritius, yang mana lebih 3,000 unit kenderaannya telah dijual sejak 1996.
Ujar Zahari, pihaknya akui bahawa prestasi eksport masih tidak signifikan pada masa ini, namun Perodua akan gigih berusaha untuk mengembangkan perniagaan.
“Kami sedang bekerjasama dengan rakan teknikal dan teknologi kami, Daihatsu Motor Company of Japan, dengan memanfaatkan pengalaman dan rangkaian mereka untuk merancang eksport yang lebih mapan dan menguntungkan.
“Seychelles adalah destinasi popular bagi pelancong Eropah dan Afrika dan ini akan membuka lebih banyak peluang eksport melalui pendedahan jenama Perodua,” katanya.
Perodua menawarkan waranti tiga tahun sehingga 100,000 kilometer. Perodua Axia amat sesuai untuk pasaran Seychelles kerana ia menawarkan gaya, keselamatan, ciri-ciri pintar serta kos pemilikan, servis dan alat ganti yang rendah.
Seychelles adalah sebuah negara kepulauan yang terdiri daripada 115 pulau di Lautan Hindi, sebelah timur daratan Afrika.











