KUALA LUMPUR 28 Jun – Kad Laporan Projek Pantau edisi kedua Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) merumuskan sebanyak 30 peratus daripada 224 sub-janji dalam Buku Harapan telah tercapai atau berada di landasan tepat.
Bagaimanapun, terdapat beberapa projek yang berada dalam masalah antaranya kerajaan telah mencadangkan untuk menamatkan monopoli oleh syarikat seperti Telekom Malaysia Bhd. (TM) dan Padiberas Nasional Bhd. (Bernas).
Jelas IDEAS, meskipun begitu, kerajaan tidak menetapkan satu strategi komprehensif untuk mencapai matlamat itu dan kekuatan komitmen politik nampaknya dikurangkan sebagai contoh kerajaan kini menyatakan monopoli Astro Malaysia Holdings Bhd. (Astro) berakhir.
“Selain itu, kerajaan juga menjanjikan insentif cukai untuk diberikan kepada syarikat yang memberi tumpuan kepada perumahan mampu milik. Kerajaan mahu menggalakkan tetapi tidak komited untuk insentif cukai.
“Kerajaan telah mengumumkan rancangan mereka untuk membina satu juta unit rumah mampu milik dengan purata 100,000 unit setahun bagaimanapun, rancangan itu tidak jelas disebut dalam dasar perumahan baharu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Buku Harapan sebelum ini mahu memperkenal program sewa mampu milik buat mereka yang layak terutama golongan belia tetapi Dasar Perumahan Negara 2018-2025 tidak menyebut belia.
Keputusan mengenai pemotongan duti eksais bagi pembeli kereta kali pertama masih belum selesai sehingga penerbitan Dasar Automotif Nasional baharu menunjukkan kelemahan daripada komitmen politik untuk janji itu.
Mengenai penyusunan semula pembayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kerajaan menghapuskan penghutang daripada senarai hitam perjalanan tetapi tidak kekal.
“Topik paling hangat, kerajaan akui pemansuhan penuh tol akan sukar dicapai, justeru, mencadangkan untuk beralih kepada sistem caj kesesakan,” katanya.











