Penyamun ‘Black Ruger’ tumpas - Utusan Malaysia

Penyamun ‘Black Ruger’ tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Satu kumpulan yang aktif menyamun di sekitar Sungai Buloh, Petaling Jaya dan Gombak dikenali sebagai ‘Black Ruger’ tumpas selepas polis menahan dalang serta empat konconya di Sungai Buloh dan Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superitenden Shafa’aton Abu Bakar berkata, tangkapan dibuat antara 28 Mei lalu sehingga semalam susulan satu kes samun di sebuah stesen minyak dekat Sungai Buloh pada 27 Mei lalu.

Menceritakan kejadian, Shafa’aton berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, tiga lelaki bersenjatakan sepucuk pistol melarikan wang tunai sebanyak RM2,450 termasuk syiling RM150 dari kaunter stesen minyak tersebut dengan menaiki sebuah kereta Perodua Myvi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Susulan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh membuat tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 22 tahun di Jalan Kampung Baru Sungai Buloh, sehari selepas kejadian dan merampas sebuah motosikal serta telefon bimbit.

“Hasil soal siasat terhadap suspek pertama, suspek kedua berusia 37 tahun berjaya ditahan pada 17 Jun lalu di lokasi tangkapan yang sama,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Sungai Buloh, hari ini.

Menurut Shafa’aton, siasatan ke atas suspek kedua itu pula kemudiannya membawa kepada tangkapan suspek ketiga yang juga ketua kumpulan berusia 31 tahun di Bandar Baru Sungai Buloh, pada 19 Jun lalu.

Beliau berkata, pihaknya kemudian ke satu alamat di Desa Titi Panjang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan menahan suspek keempat yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berusia 36 tahun.

“Soal siasat ke atas lelaki itu kemudian membawa polis ke sebuah stor lori di Jalan Utama Bukit Tengah dan menemukan sepucuk pistol jenis Ruger SR9c AZ USA bersama satu kelopak dan 16 butir peluru.

“Berpandukan maklumat daripada suspek keempat itu juga, kita berjaya menahan suspek kelima, iaitu seorang kelindan lori berusia 27 tahun di Kampung Seri Indah A, Sungai Buloh,” jelasnya.

Shafa’aton berkata, semakan rekod terhadap kelima-lima suspek mendapati tiga daripada mereka termasuk ketua kumpulan mempunyai sekurang-kurangnya enam rekod jenayah lampau.

Ujarnya, pihaknya kini sedang memburu dua lagi baki ahli kumpulan berkenaan dan identiti mereka sudah dikenal pasti.

Beliau berkata, empat tangkapan pertama kini direman sehingga 3 Julai depan untuk siasatan lanjut, manakala suspek kelima akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini