KUALA LUMPUR – Bekalan air di 470 kawasan sekitar Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang dekat sini yang terjejas ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih pulih pada tahap keseluruhan 96 peratus sehingga pukul 6 pagi ini.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, bekalan air di semua kawasan akan pulih sepenuhnya selewatnya-lewatnya pukul 6 pagi esok.
“Sebanyak 98 kawasan di Sepang dan 223 kawasan di Hulu Langat akan pulih sepenuhnya pada pukul 6 petang ini manakala bekalan air di 83 kawasan di Kuala Langat pada pukul 8 malam ini.
“66 kawasan di Petaling pula dijangka pulih sepenuhnya pada pukul 6 pagi esok,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, pihaknya sedang berusaha untuk meningkatkan tekanan dan aliran di sistem agihan bagi mempercepatkan proses pemulihan keseluruhan kawasan terjejas.
Tanbahnya, bantuan melalui lori-lori tangki air masih terus digerakkan dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) masih terus beroperasi bagi menyalurkan bantuan hingga bekalan pulih sepenuhnya.
Ujarnya, orang ramai boleh melayari laman web Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) di www.syabas.com.my atau aplikasi telefon pintar Air Selangor, Facebook dan Twitter untuk maklumat dan status terkini. – UTUSAN ONLINE











