PUTRAJAYA- Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) mengesan kehadiran gas methyl mercaptan dalam insiden pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang, Johor.
Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, kehadiran gas berkenaan adalah satu keganjilan atau anomaly sekali gus memberi kesan kepada mereka yang berisiko seperti kanak-kanak dan penghidap asma.
Bee Yin berkata, pemantauan pihaknya turut mengesan dua gas lain iaitu Acrylonitrile dan Acrolein, bagaimanpun, ketiga-tiga gas itu tidak dikesan dalam sampel darah dan air kencing pesakit yang terjejas setakat ini.
“Langkah segera bagi melupuskan punca kehadiran gas-gas tersebut telah diambil selain meneruskan penguatkuasaan dan pemantauan ke atas kilang-kilang yang berasaskan bahan kimia di sekitar Pasir Gudang.

“MESTECC akan melaksanakan penyelesaian yang lebih holistik untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan kesinambungan ekonomi dilakukan di kawasan berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Menurut Bee Yin, secara amnya, pembangunan di Pasir Gudang yang tidak lestari telah memberi kesan jangka panjang yang negatif terhadap alam sekitar.
“Kepesatan pembangunan dan kepadatan industri kimia yang tinggi di Pasir Gudang menjadi penyumbang utama kepada impak persekitaran termasuk udara, tanah dan sungai.
“Pembangunan tidak lestari ini menyebabkan alam sekitar menjadi tepu dengan pelbagai gas atau wap yang terampai di udara, pelepasan ‘afluen’ yang tidak dikawal rapi di perparitan dan saliran sekali gus menyebabkan persekitaran tidak stabil dan amat sensitif,“ katanya.
Selain itu katanya, pembangunan Pasir Gudang yang tidak lestari juga menyebabkan ketiadaan zon penampan antara industri berasaskan bahan kimia dengan kawasan sekolah, perumahan dan pusat aktiviti masyarakat sekali gus mendedahkan penduduk kepada risiko bencana kimia.
Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dalam sidang akhbar yang sama memaklumkan sehingga semalam kumulatif kes kejadian sesak nafas di Pasir Gudang ialah 748 orang iaitu 709 menerima rawatan pesakit luar dan 39 orang dimasukkan ke dalam wad.
“Buat masa ini, keputusan sampel klinikal pesakit bagi ujian kimia seperti hydrogen cyanide, cyanide, hydrogen thiocyanide dan volatile organic substances adalah negatif,“ katanya.-UTUSAN ONLINE











