JOHOR BAHRU – Tiga lelaki tempatan diberkas kerana disyaki terlibat dalam kegiatan menyeleweng minyak diesel bersubsidi nelayan dalam satu serbuan ke atas sebuah premis di Jalan Temenggung Ahmad, Parit Bakar, Muar dekat sini tengah hari semalam.
Dalam serbuan kira-kira pada pukul 12.30 tengah hari itu, tiga lelaki yang ditahan terdiri daripada pembeli dan pemilik premis masing-masing berusia 27 hingga 42 tahun.
Timbalan Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Superintendan Noor Azman Jamal berkata, sebelum kejadian, pihaknya mengekori sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
“Pihak kita ikut kenderaan itu dari Pengkalan Nelayan Parit Jawa, Muar hingga ke lokasi pemindahan di sebuah premis di Jalan Temenggung Ahmad selepas mereka sedut minyak diesel daripada nelayan.
“Siasatan mendapati mereka beli minyak diesel ini daripada nelayan sekitar dengan harga bersubsidi, dikumpulkan sebelum dijual kepada pembeli dengan harga lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Noor Azman berkata, ketika diserbu, ketiga-tiga suspek sedang memindahkan sejumlah 1,200 liter minyak diesel bernilai RM2,640 dari 18 tong dari bahagian belakang Toyota Hilux ke dalam dua tangki besar yang berada di belakang sebuah lori jenis Isuzu. – UTUSAN ONLINE











