KOTA BHARU – Amanah Raya Berhad (Amanah Raya) hari ini secara rasminya membuka pejabat baharu di Jalan Sultan Yahya Petra di sini bagi membuktikan keperhatinannya kepada pelanggan terutama dalam menambah baik kualiti perkhidmatan yang sedia ada.
Perasmian tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin dan turut hadir, Pengerusi Amanah Raya, Datuk Mohd Nasir Ali serta pengarah urusannya, Adenan Md. Yusof..
Majlis tersebut turut diadakan dengan kemeriahan sambutan Aidilfitri untuk mendekati masyarakat serta mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara kakitangan dengan pelanggannya.
Sementara itu, Mohd Nasir berkata, atas dasar keprihatinan kepada pelanggan, pihaknya sentiasa melakukan beberapa inisiatif untuk mengukuhkan kecekapan operasi melalui pelbagai platform berdasarkan maklum balas pelanggan.
“Perpindahan lokasi baharu ini bukti keprihatinan kita kepada pelanggan dengan menyediakan kedudukan lokasi yang lebih strategik, persekitaran kondusif bersama fasiliti yang lebih lengkap bagi memudahkan segala urusan mereka.

“Dalam masa sama, Amanah Raya turut menganjurkan program bual bicara Jalan Amanah musim ke dua di Tv Al-Hijrah yang akan bersiaran pada 2 Julai depan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai perkhidmatan Perancangan Pewarisan melalui penulisan wasiat yang turut ditawarkan di Amanah Raya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











