Permintaan pekerjaan sektor IT, teknologi meningkat - Utusan Malaysia

Permintaan pekerjaan sektor IT, teknologi meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Sektor teknologi maklumat (IT) dan profesional teknologi meliputi perisian, perkakasan dan telekomunikasi merupakan antara pekerjaan yang mendapat permintaan tinggi di Malaysia pada suku kedua tahun ini, menurut Indeks Pekerjaan Monster (MEI).

Monster.com dalam kenyataannya berkata, para majikan dalam sektor berkenaan mahu memperkasakan penawaran teknologi dan digital dan mencari bakat-bakat baharu berkemahiran tinggi untuk bekerja dengan mereka.

Menurutnya, industri teknologi dan telekomunikasi menerajui pengambilan pekerja dalam talian dengan pertumbuhan sebanyak 44 peratus tahun ke tahun pada Mei.

“Ia sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap perisian, perkakasan dan bakat telekomunikasi yang berkembang 48 peratus pada tempoh sama. Sektor logistik, kurier, pengangkutan dan marin mencatatkan pertumbuhan 28 peratus tahun ke tahun berbanding enam peratus pada April.

“Sektor hospitaliti dan perbankan turut meningkat, masing-masing sebanyak 17 dan 14 peratus,” katanya di sini hari ini.

Tambah syarikat itu, tujuh daripada sembilan sektor industri yang ditinjau menyaksikan pertumbuhan positif dalam aktiviti pengambilan pekerja dalam talian pada Mei manakala dua sektor iaitu kejuruteraan, pembinaan dan hartanah serta pembuatan dan automotif sedikit merosot.

Menurut MEI, pekerjaan yang mendapat permintaan tinggi selepas profesional perisian, perkakasan dan industri telekomunikasi adalah perkhidmatan pelanggan dengan 35 peratus.

“Permintaan untuk pekerjaan sektor pembelian, logistik dan bekalan turut menunjukkan trend yang semakin meningkat untuk tempoh tiga bulan berturut-turut.

“Situasi sebaliknya berlaku untuk hospitaliti dan percutian yang mana profesion ini satu-satunya yang mengalami kemerosotan sebanyak 20 peratus,” katanya.

MEI meninjau aktiviti pekerjaan dalam talian secara bulanan bagi merekodkan pertumbuhan dalam industri dan pekerjaan tempatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×