SEREMBAN – Insiden seorang guru merotan pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Skudai, Johor baru-baru ini tidak sepatutnya ditularkan di media sosial.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik berkata, kejadian itu boleh diselesaikan dengan baik.
Menurut beliau, insiden seperti itu apabila ditularkan dalam media sosial boleh memberi kesan buruk kepada semua pihak terlibat.
“Kalau boleh awal-awal lagi jangan diviralkan di Facebook dan sebagainya. Bawalah berunding,” katanya pada sidang media sempena Majlis Ramah Mesra Timbalan Menteri dan Sambutan Hari Guru Zon Tengah di Sikamat di sini hari ini.
Beliau menyampaikan replika cek pampasan di bawah skim insurans berkelompok Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Tabika Perpaduan kepada dua penerima pada majlis itu.
Selain itu, beliau menyampaikan sumbangan kebajikan kepada guru, penolong guru dan pendidik Taska Permata Perpaduan.
Sementara itu, Md. Farid mengingatkan semua pihak kejadian melibatkan seorang guru, pelajar dan ibu bapanya itu bukan satu isu perkauman.
Kata beliau, kesemua pihak terlibat malah akan berjumpa hari ini untuk menyelesaikan perkara tersebut secara baik dan berhemah.
“Ramai yang kadangkala terikut-ikut, mungkin ada yang sengaja kaitkan isu ini dengan kaum,” katanya. – K! ONLINE











