KUALA PILAH – Seorang warga emas berusia 73 tahun yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Jalan Anak Air Sepam, Rembang Panas dekat sini sejak empat hari lalu ditemukan selamat hari ini.
Bekas pesara tentera itu, Abd. Hamid Minhaj ditemukan oleh penduduk kampung di Pekan Juasseh semasa dia turun dari bas awam yang datang dari arah Seremban pada pukul 7.30 pagi.
Anak Abd. Hamid, Suhaimi, 39, berkata, bapanya mendakwa dia tidak hilang sebaliknya pergi beraya di Kelantan dengan menaiki bas sejak 24 Jun lalu.
“Dia beritahu ada tinggalkan nota dalam bilik tidur mahu pergi ke Kelantan untuk beraya, tetapi ahli keluarga saya tidak jumpa nota itu. Kami bimbang kerana dia tinggalkan rumah sehelai sepinggang dan cuma membawa beg duit.
“Saya tidak pasti di mana dia menetap sepanjang empat hari lalu jika benar dia berada di Kelantan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Suhaimi yang juga anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Kuala Pilah berkata, bapanya pernah berkhidmat sebagai anggota tentera di Kelantan dan warga emas itu kelihatan begitu penat semasa dijumpai penduduk.
Menurutnya, dia seterusnya membawa bapanya ke Klinik Kesihatan Juasseh untuk menjalani pemeriksaan kesihatan kerana kaki warga emas itu kelihatan bengkak dipercayai akibat terlalu banyak berjalan.
Maklumat tentang kehilangan bekas pesara tentera itu tular dalam media sosial sejak 24 Jun lalu selepas ahli keluarganya bertindak membuat laporan polis.
Abd. Hamid disedari hilang dari rumahnya pada pukul 9 pagi dan kali terakhir dilihat membaca akhbar di anjung rumahnya. – UTUSAN ONLINE











