MPKK Gelugor anjur pemeriksaan percuma - Utusan Malaysia

MPKK Gelugor anjur pemeriksaan percuma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN – Buat julung kalinya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Gelugor, Kerteh menganjurkan program pemeriksaan kesihatan percuma bagi mengesan dan pencegahan awal penyakit buah pinggang kalangan penduduk.

Program anjuran bersama Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) dan Yayasan CIMB bertempat di Surau Al-Taqwa Kampung Gelugor, Kerteh bermula pukul 9.30 pagi berakhir pukul 4.30 petang semalam.

Pengerusinya, Abdul Marhalim Muhammad Ali berkata, seramai 96 orang penduduk Kampung Gelugor dan sekitarnya membuat pemeriksaan kesihatan percuma ke atas mereka berusia 18 tahun keatas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemeriksaan kesihatan secara percuma ini merangkumi pemeriksaan tekanan darah, ukur tinggi, berat badan dan ukur lilit pinggang (BMI), ujian air kencing, ujian gula dalam darah, ujian kolesterol dan kaunseling. Salinan keputusan pemeriksaan tersebut diberikan kepada mereka apabila selesai pemeriksaan tersebut,” katanya.

“Program ini merupakan yang pertama diadakan oleh MPKK Kampung Gelugor bagi membantu masyarakat setempat mengesan penyakit kronik iaitu buah pinggang agar pesakit tersebut mendapat rawatan awal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Yang hadir sama, Eksekutif Projek NKF Wilayah Timur, Hasmira Mohd. Daud.Sempena program tersebut, sebanyak 15 orang berpeluang membuka akaun simpanan bersama CIMB Bank tanpa deposit.

Abdul Marhalim berkata, usaha yang dilakukan oleh NKF dan Yayasan CIMB perlu menjadi ikutan syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) lain.

Sementara itu, Hasmira memberitahu, NKF merupakan sebuah NGO yang sentiasa menitik berat tentang kesihatan rakyat negara ini terutama penyakit buah pinggang.

Katanya, NKF memberi khidmat pemeriksaan kesihatan bagi mengesan dan mencegah penyakit buah pinggang secara percuma kepada komuniti Wilayah Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang setiap Isnin hingga Khamis dengan menggunakan klinik bergerak. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini