DUNGUN – Seorang penyelia tapak industri minyak dan gas maut setelah motosikal yang ditunggangi melanggar seekor anjing sedang melintas di Jalan Santong berhampiran Pusat Pemprosesan Minyak dan Gas, GPP 5 dan 6 dekat sini pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.55 pagi, Mustaffa Said, 42, disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Klinik Kesihatan Paka pukul 8.22 pagi akibat kecederaan dalaman dan di muka.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian itu.
Menurut beliau, mangsa yang tinggal di Taman Rakyat dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja di kompleks pemprosesan minyak dan gas tersebut yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.
“ Mangsa merupakan seorang penyelia tapak di kawasan perindustrian berkenaan dan dia sering menggunakan laluan tersebut untuk ketempat kerjanya,” katanya.
Jelasnya, setiba di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC cuba mengelak seekor anjing yang melintas jalan secara tiba-tiba menghala ke hutan berhampiran.
Bagaimanapun, katanya, motosikal mangsa gagal mengelak lalu melanggar haiwan tersebut menyebabkan mangsa terjatuh dan terseret beberapa meter di atas jalan,
“Sepasukan anggota perubatan dari Unit Bantuan Kebakaran Gas dan Minyak (CEFS) yang tiba sejurus selepas kejadian telah memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa sebelum membawanya ke Klinik Kesihatan Paka, namun mangsa meninggal dunia sebaik tiba di pekarangan klinik itu,” katanya.
Baharudin berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN ONLINE











