Lantikan PPK: Kerajaan tidak boleh puaskan hati semua pihak - Utusan Malaysia

Lantikan PPK: Kerajaan tidak boleh puaskan hati semua pihak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak boleh memuaskan hati semua pihak dalam isu pelantikan enam anggota Pasukan Petugas Khas (PPK) yang akan menyiasat kes kehilangan aktivis sosial, Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh Keng Joo.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sebarang aduan dikemukakan pihak tertentu berhubung pasukan berkenaan akan diteliti kerajaan sebelum ditambah baik.

“Kita tidak boleh puaskan hati semua pihak, ada yang gembira dan ada yang tidak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tidak boleh beri jaminan 100 peratus puas hati untuk mereka yang berkaitan dalam perkara ini. Biar saya teliti apa-apa aduan sebelum kita tambah baik dan buat lebih banyak lagi (siasatan),” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas melancarkan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030 di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan isteri Amri, Norhayati Ariffin, semalam yang tidak berpuas hati dengan komposisi keanggotaan PPK selepas ahlinya diumumkan semalam.

Norhayati mendakwa salah seorang ahli iaitu bekas Ketua Bahagian Perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mokhtar Mohd. Noor sebelum ini terbabit secara langsung dalam siasatan kehilangan Amri apabila pegawai penyiasat, Khor Yi Shuen memindahkan kes itu ke Bukit Aman.

Katanya, kehadiran Mokhtar sebagai salah seorang anggota pasukan itu boleh mewujudkan konflik kepentingan.

Kosmo! Online melaporkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelantikan enam anggota pasukan itu yang diketuai Bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abd. Rahim Uda.

Selain Abd. Rahim dan Mokhtar, pasukan itu turut dianggotai Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM, Datuk Zamri Yahya dan Pengarah Bahagian Operasi, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Datuk Muhammad Bukhari Abd. Hamid. 

Dua individu lain ialah Pegawai Undang-undang Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Mohd. Sophian Zakaria dan Setiausaha Bahagian Suruhanjaya Pasukan Polis, Kementerian Dalam Negeri, Mohd. Russaini Idrus. – K! ONLINE 
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini