KUALA LUMPUR – Setelah hampir dua tahun mendirikan rumah tangga, bintang Korea Song Joong Ki telah memfailkan permohonan cerai terhadap isterinya, Song Hye Kyo.
Memetik laporan media allkpop, Song Joong Ki yang diwakili peguamnya memohon maaf kepada semua peminat mereka dan menjelaskan ingin berpisah secara baik.
“Saya minta maaf kepada semua peminat kami. Saya telah memutuskan untuk bercerai dengan Song Hye Kyo.
“Daripada saling berselisih faham dan berdebat tentang siapa yang harus dipersalahkan, saya berharap isu penceraian ini dapat diselesaikan secara baik,’’ katanya dalam satu kenyataan media.
Drama kesukaan ramai iaitu Descendant of the Sun menjadikan hero dan heroin drama tersebut tidak asing lagi dalam kalangan pengikut mereka.
Bibit percintaan antara mereka telah membawa pelakon sama padan dan sama cantik itu ke jinjang pelamin pada Oktober 2017.
Namun, khabar angin keretakan rumah tangga pelakon popular tersebut dikesan sejak tahun lalu apabila Song Hye Kyo beberapa kali dilihat tidak memakai cincin perkahwinannya. – Bernama











