Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 garis tiga prinsip utama - Utusan Malaysia

Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 garis tiga prinsip utama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030 yang dilancarkan hari ini menyediakan kerangka hala tuju pembangunan luar bandar ke arah menuju negara maju dan berpendapatan tinggi berteraskan tiga prinsip utama.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, tiga prinsip tersebut adalah kemampanan, inklusif dan holistik yang masing-masing merangkumi asas kelangsungan kesejahteraan hidup, keseimbangan dan pelbagai dimensi.

“Penggubalan ini telah merujuk kepada dasar semasa termasuk Dasar Perancangan Fizikal Desa Negara 2030, Kajian Separuh Penggal, Rancangan Malaysia Kesebelas, Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar 2018-2023 dan Agenda Matlamat Pembangunan Mapan 2030.

Memuatkan artikel berkaitan…

“DPLB digubal meliputi dua rancangan lima tahun negara iaitu RMK-12 (2021-2025) dan RMK-13 (2026-2030),” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran DPLB 2030 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

DPLB 2030 dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut Rina lagi, DPLB juga menggariskan 10 teras, 33 pernyataan dasar dan 88 strategi yang akan dilaksanakan sehingga 2030.

Katanya, antara 10 teras itu adalah ekonomi berdaya saing dan mampan, keusahawanan pemacu pembangunan ekonomi, modal insan berkualiti dan prasarana lengkap dan canggih.

“Lima lagi adalah keunggulan generasi remaja luar bandar, wanita luar bandar yang progresif, kehidupan luar bandar yang sejahtera, sistem penyampaian dan tadbir urus berkesan, biodiversiti dan alam sekitar mampan dan perumahan, pembangunan wilayah dan penempatan desa bersepadu,” katanya.

Ujar Rina, DPLB di samping itu mengetengahkan beberapa perubahan pemacu dalam menghadapi perubahan bakal berlaku seperti internet, melengkapi infrastruktur asas pembangunan ekosistem digital dan pembangunan kluster baharu pelbagai sektor ekonomi.

Katanya, hal ini kerana beberapa cabaran besar yang dijangka dihadapi oleh masyarakat luar bandar.

“Ia membabitkan peningkatan penggunaan teknologi digital, perkembangan terhadap sistem e-dagang serta penggunaan teknik dan teknologi baharu dalam sektor pertanian dan perniagaan.

“Selain itu, perkembangan terhadap IR 4.0 dijangka akan memberi impak terhadap pembangunan negara dan ekonomi digital termasuk di luar bandar juga diambil kira,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini