PUTRAJAYA – Kerajaan secara aktif sedang menguruskan tekanan-tekanan kos hidup yang dihadapi oleh rakyat dan buktinya, pada Mac, April serta Mei lalu, kadar inflasi adalah rendah dan stabil pada tahap 0.2 peratus.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan ketika ini juga sedang merangka satu indeks kos hidup untuk memperlengkap kewujudan Indeks Harga Pengguna (IHP).
Berbeza dengan IHP yang memantau perubahan umum pada harga pengguna, beliau menjelaskan, indeks baharu itu akan menentukan kos hidup minimum diperlukan bagi seseorang untuk hidup secara selesa.
Menurutnya, ia akan membantu kerajaan untuk membentuk dasar yang lebih tepat dalam menangani kos-kos hidup dihadapi rakyat Malaysia.
“Kerajaan turut sedang memantau kos-kos hidup dengan membendung tingkahlaku monopoli. Mungkin kejayaan terbesar adalah berkait dengan perkhidmatan jalur lebar yang mana, kelajuannya telah dipertingkatkan bagi ramai pengguna pada harga berpatutan.
“Perkhidmatan jalur lebar yang boleh dipercayai, murah dan laju akan menjadi kunci kepada usaha melonjakkan pendigitalan ekonomi Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Konsultasi Belanjawan 2020 di sini hari ini.
Program itu bertemakan ‘Kemakmuran Bersama: Menjana Pertumbuhan Inklusif yang Berkualiti ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi’.
Sebanyak 304 wakil sektor swasta, kementerian dan agensi serta antarabangsa hadir pada program berkenaan.
Sementara itu, Guan Eng berkata, kerajaan telah mengenal pasti Industri 4.0 sebagai sumber baharu pertumbuhan produktiviti dan ekonomi.
Beliau menjelaskan, ini secara khusus melibatkan elemen ekonomi digital serta penggunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), data raya dan robotik dalam kehidupan seharian.
“Kita perlu mendigitalkan ekonomi kita secara pantas, kalau tidak kita akan ketinggalan,” katanya.
Guan Eng berkata, Bajet 2020 akan dibentangkan di Parlimen pada 11 Oktober ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan mahu membelanjakan lebih banyak untuk pembangunan namun isu-isu legasi seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta lain-lain kes rasuah menyebabkan negara rugi kira-kira RM150 bilion serta menjejaskan negara. – UTUSAN ONLINE











