JOHOR BAHRU 27 Jun – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) negeri mewujudkan pelan tindakan kontigensi pembelajaran murid yang terkesan akibat pencemaran bau yang melanda 111 buah sekolah di seluruh kawasan Pasir Gudang.
Pengarahnya, Azman Adnan berkata, pelan itu bertujuan untuk memastikan pembelajaran murid dapat dijalankan secara berterusan.
Katanya, antara inisiatif yang diambil termasuk guru-guru menyediakan pelbagai bahan pembelajaran alternatif melalui saluran media.
“Pembelajaran alternatif ini melibatkan pelbagai saluran media termasuklah aplikasi Whatsapp, Telegram, Email, VLE dan Eduweb TV selain buku teks buku latihan aktiviti serta modul sedia ada.
“Ibu bapa dan penjaga juga boleh memantau dan membimbing murid sepanjang tempoh sekolah ditutup supaya mereka dapat meneruskan proses pembelajaran di rumah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.
Pembelajaran murid dan pelajar di kesemua 111 buah sekolah rendah dan menengah terhenti apabila sesi persekolahan terpaksa ditutup ekoran pencemaran udara yang berlaku di kawasan Pasir Gudang. – UTUSAN ONLINE











