Orang Asli Kuala Koh: Guna air minuman dalam botol untuk memasak - Utusan Malaysia

Orang Asli Kuala Koh: Guna air minuman dalam botol untuk memasak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Penduduk Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh di sini yang terlibat dengan krisis kesihatan sehingga mengorbankan 15 nyawa masih takut untuk menggunakan sumber air di kampung berkenaan.

Menurut seorang penduduk, Ayong Jais, 30, kehidupan di kampung berkenaan sudah kembali normal selepas penduduk sudah mula pulang ke kediaman masing-masing.

“Cuma kami masih takut hendak gunakan bekalan air dari sungai, air tandak dan air telaga berhampiran untuk dibuat air minum.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi tujuan minum dan memasak kami menggunakan air mineral (air minuman di dalam botol) yang disumbangkan oleh kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO). Manakala air tandak, sungai dan telaga pula hanya digunakan untuk mandi dan membasuh baju,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ana Ripin, 20, berkata, sejak krisis kesihatan itu dia menggunakan bekalan air yang disumbangkan untuk memasak dan air minuman.

“Kami tidak berani lagi menggunakan bekalan air sebelum kerana bimbang tercemar selain memudaratkan kesihatan. 

“Terima kasih kepada pihak yang menyalurkan bantuan ini kerana ia dapat dimanfaatkan dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Kuala Koh, Mohamad Pokok berkata, penduduk memohon agar syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) memantau bekalan air yang dihantar di dalam dua tong besar di kampung berkenaan.

“Satu tong berkenaan hanya mampu bertahan selama tiga hari berikutan perkampungan ini mempunyai sebanyak 52 keluarga. 

“Semasa kejadian baru-baru ini mereka kerap hantar bekalan cuma sekarang sudah terputus dua hari. Dua tong itu selalunya habis digunakan penduduk tidak sampai seminggu,” katanya. K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini