MUKADIMAH
BARU-BARU ini, AHMAD SOFFIAN MOHD. SHARIFF telah meletakkan jawatannya sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Dalam sidang akhbar beberapa hari selepas peletakan jawatannya, Ahmad Soffian menyatakan punca sebenar beliau meletakkan jawatan adalah kerana tidak yakin dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Antara isu yang membuatkan beliau tidak yakin dengan kerajaan PH adalah kegagalan untuk menunaikan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
AHMAD SOFFIAN MOHD. SHARIFFUntuk rekod, Ahmad Soffian ialah suami kepada peguam Syazlin Mansor yang mewakili keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim dalam prosiding inkues kematiannya.
Wartawan Utusan Malaysia, SOFIAN BAHAROM berpeluang bercakap dengan Ahmad Soffian untuk mengetahui lagi perspektif serta perancangan masa depannya selepas ini.
UTUSAN: Anda kata sudah tidak mempercayai PH kerana tidak menunaikan manifesto. Boleh perincikan?
AHMAD SOFFIAN: Terlalu banyak janji dan apa yang telah dibentangkan dalam manifesto tidak ditunaikan oleh Pakatan Harapan. Antara perkara utama adalah kegagalan untuk melaksanakan pendidikan percuma dan pembangunan orang Melayu bumiputera di Malaysia.
Anda juga kata mahu mengambil posisi bebas bersuara dan menegur kerajaan jika ada kesalahan. Melalui platform apa yang akan anda digunakan?
Buat masa sekarang saya bersendirian, tidak terikat dengan mana-mana parti politik atau pertubuhan tertentu. Saya akan bersuara melalui penulisan, media sosial dan juga pengucapan awam.
Adakah anda rasa teguran anda itu akan didengari atau dilayan oleh kerajaan?
Saya tidak tahu sama ada kerajaan akan mendengar atau tidak teguran dari saya. Namun ini adalah tanggungjawab saya sebagai seorang rakyat Malaysia.
Prosiding inkues Allahyarham Muhammad Adib turut memberi kesan kepada keputusan anda untuk meletakkan jawatan. Boleh huraikan?
Ya, sedikit sebanyak memberikan kesan kepada keputusan saya untuk meletak jawatan dan meninggalkan Pakatan Harapan. Sewajibnya, kerajaan tidak patut campur tangan di dalam kes inkues ini dan wajar membiarkan Mahkamah Koroner membuat keputusan yang adil dan saksama.
Apa perancangan anda seterusnya? Adakah akan menyertai wadah politik dalam memperjuangkan buah fikiran anda?
Buat masa sekarang biarlah saya bergerak sendirian. Tidak terikat dengan agenda politik mana-mana pihak. Namun perkara yang sama tidak boleh saya katakan untuk masa hadapan.
Parti politik hanyalah platform, namun apa yang perlu kita fikirkan sekarang adalah manfaat yang boleh diberikan kepada seluruh rakyat Malaysia.











