BERDASARKAN pengalaman saya, terdapat tiga sektor utama di mana masyarakat Melayu memerlukan bantuan kerajaan untuk membuat pembaharuan. Sektor berkenaan adalah kewangan, pendidikan dan media.
Pertama, dari segi kewangan, orang Melayu masih terkebelakang berbanding kaum Cina dan India. Sebenarnya, masalah orang Melayu ketinggalan berbanding kaum-kaum lain terutamanya dalam sektor kewangan (ekonomi) berlaku sejak zaman penjajah British.
Dasar pecah dan perintah yang dilaksanakan oleh penjajah British meletakkan orang Melayu hanya di kampung-kampung; dan menjalankan aktiviti pertanian (mengusahakan sawah dan menanam pokok buah-buahan) sebagai sumber utama pendapatan mereka.
Masyarakat Cina pula ditempatkan di pekan-pekan dan bandar-bandar; dan menjalankan perniagaan sebagai sumber utama pendapatan mereka.
Manakala masyarakat India kebiasaannya berada dalam sektor perkhidmatan (ladang dan tukang masak).
Apabila bercakap tentang ekonomi atau bisnes, kita akan memperkatakan mengenai modal yang dimiliki oleh seseorang individu. Sektor ini dipegang oleh kaum Cina kerana mereka mempunyai modal besar sejak pemerintahan British lagi.
Usahawan Melayu menghadapi pelbagai cabaran apabila ingin memulakan bisnes. Walaupun terdapat bantuan untuk modal permulaan, namun kebanyakan usahawan Melayu adalah baharu dan tidak mempunyai track record yang memuaskan sistem pembiayaan perbankan di negara ini.
Untuk itu, kerajaan dan generasi muda Muslim perlu bekerjasama dalam memastikan golongan belia turut mendapat peluang untuk berkecimpung dalam sektor ekonomi/bisnes.
Lebih ramai anak muda perlu memilih untuk berkecimpung dalam sektor bisnes dan mereka harus menjadikan perniagaan sebagai satu profesion.
Kedua, menyentuh mengenai sektor pendidikan, saya berpendapat satu perubahan perlu dilakukan untuk menghasilkan graduan yang berdaya saing agar mereka dapat memasuki industri di Malaysia.
Daripada pemerhatian saya, ramai anak muda Melayu mendapat pendidikan di peringkat universiti namun, kualiti graduan ini tidak mencapai piawaian yang dikehendaki oleh industri.
Ini kerana, graduan ini hanya mendapat peluang untuk menyambung pelajaran di universiti atas tiket politik walhal kelayakan akademik tidak seberapa.
Keinginan pihak kerajaan untuk melihat lebih ramai anak muda Melayu memasuki universiti telah mengabaikan kualiti graduan yang dihasilkan. Ini kemudiannya menghasilkan graduan yang mempunyai employability rate yang rendah.
Keadaan ini mungkin berpunca daripada polisi pendidikan negara sekarang. Oleh itu, dasar ini perlu diteliti dan dikaji semula lebih-lebih lagi polisi pendidikan awal kanak-kanak.
Selain itu, saya juga mendapati kurangnya kerjasama antara institusi pendidikan dan industri yang menyebabkan pihak institusi pendidikan tidak jelas tentang keperluan daripada pihak industri.
Saya ingin menyarankan agar lebih banyak kerjasama sebegini dapat diusahakan untuk memastikan graduan yang dikeluarkan oleh pihak universiti mempunyai employability rate yang lebih tinggi.
Saya juga ingin menekankan kepentingan memastikan generasi muda bersedia untuk menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).
Kita perlu cuba mencontohi negara China di mana selain pendidikan peringkat tertinggi, mereka turut sama menekankan nilai tambah di mana anak-anak muda yang telah mendapat kelulusan universiti, dihantar ke Jerman dan negara-negara maju yang lain untuk mendapat pengetahuan dan pendedahan tentang teknologi terkini.
Ketiga mengenai sektor media, saya berpendapat media massa memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk masyarakat.
Bagaimanapun, kerajaan perlu sedikit sebanyak mengekang media lebih-lebih lagi dari segi kandungan yang disiarkan.
Ini kerana, apabila media diswastakan sepenuhnya, syarikat itu akan hanya mementingkan keuntungan yang dapat dikaut hasil daripada siaran mereka.
Ini berlaku tanpa memikirkan kesan buruk hasil daripada kandungan yang sekadar berlandaskan hiburan semata-mata.
Kesimpulannya, sekarang adalah masanya untuk melakukan perubahan kerana rakyat Malaysia inginkan perubahan dan rakyat negara ini inginkan Malaysia Baharu.
TAN SRI MATSHAH SAFUAN ialah Ketua Pegawai Eksekutif Safuan Group.











