TAMPIL dengan imej bertudung baru-baru ini dalam sebuah majlis, ternyata ramai yang memuji pelakon Lisa Surihani.
Menerusi gambar yang dimuat naik dalam laman Instagramnya, rata-rata meninggalkan komen terkejut dengan perubahan Lisa yang juga isteri Yusry Abd. Halim ( KRU).
Tidak sekadar peminat, rakan artis juga tidak dapat menafikan aura kecantikan Lisa apabila bertudung.

Ternyata penampilan terkini itu sedikit sebanyak menjawab harapan peminatnya yang mahu Lisa terus mengenakan tudung sekembalinya daripada mengerjakan umrah bersama Yusry baru-baru ini.
Tidak membalas semua komen yang ditinggalkan, Lisa bagaimanapun tidak lupa mengharapkan doa daripada mereka yang menyukai penampilan terbaharunya ini.
Bagaimanapun dalam satu laporan, Lisa dikatakan masih mengambil masa untuk membuat keputusan sama ada ingin mengekalkan imej bertudung atau tidak kerana menganggap ia terlalu peribadi untuk dikongsikan.
Pelakon filem Istanbul, Aku Datang ini mahu menjalani fasa baharu dalam hidupnya dengan perlahan-lahan.
Mungkin pada Lisa sendiri perubahan yang berlaku ini tidak sekadar penampilan sahaja. Ada perkara yang perlu diberikan perhatian lebih memandangkan peminat melihat dirinya sebagai idola mereka.
Berat bukan tanggungjawab sebagai seorang artis yang sekali gus menjadi perhatian ramai. Sebab itu bila ada yang memilih untuk memperlekehkan pemakaian tudung, mereka perlu tahu penampilan itu tidak sekadar mewakili diri sendiri tetapi pilihan bertudung turut memberi kesan kepada masyarakat.
Apapun didoakan semoga Lisa istiqamah dengan pilihan bertudung sebab memang dia nampak lebih cantik dan ayu dengan imej ini.











