PERTAMBAHAN penduduk dan pembangunan ekonomi di Malaysia merupakan faktor utama penggunaan tenaga elektrik semakin meningkat.
Menurut kajian Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada 2011, permintaan tenaga meningkat secara agresif di seluruh dunia dengan penggunaan tenaga elektrik di negara ini meningkat secara purata dalam lingkungan 10 peratus pada kitaran setiap 10 tahun.
Ini merupakan satu petunjuk positif bahawa kedudukan ekonomi Malaysia berada pada tahap yang baik dan menya–kinkan.
Pada 2015, TNB Research Sdn. Bhd. (TNBR) diberi kepercayaan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (ketika itu) menerusi dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) untuk menjalankan satu projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang bertujuan mengenal pasti kebolehlaksanaan sistem dan kaedah penjanaan kuasa elektrik berasaskan tenaga boleh diperbaharui iaitu solar terapung di permukaan air.
Sistem tersebut yang kini dipasang di Loji Rawatan Air Sungai Labu, Sepang, Selangor dan dinamakan Sistem Solar Fotovoltan Sambungan Grid Terapung merupakan penyelesaian alternatif bagi mengurangkan pembebasan karbon dioksida dalam sektor penjanaan tenaga elektrik.
Menurut Penyelidik Kumpulan Teknologi Hijau TNBR ketika itu, Mohd. Azimin Elias, penjanaan tenaga elektrik melalui solar terapung itu lebih berbaloi memandangkan kesejukan air tasik membantu solar menghasilkan lebih tenaga elektrik melalui sinaran cahaya matahari.
“Sistem perintis tersebut dengan kapasiti 108 kWp yang dibangunkan oleh TNBR merupakan satu projek R&D yang bertujuan mengenal pasti kebolehlaksanaan sistem tersebut di Malaysia dari segi teknikal, komersial serta kesannya ke atas kualiti air.
“Namun, kos untuk membangunkan projek tersebut agak tinggi untuk dibuat secara skala besar. Kerana itu di negara ini penjanaan tenaga elektrik melalui solar terapung tidak dapat dikomersialkan, sebaliknya kerajaan lebih memilih menggunakan tenaga boleh diperbaharui (RE) melalui tenaga solar di tanah memandangkan kosnya yang lebih murah,” katanya yang ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Selain dapat memaksimumkan penggunaan tasik yang terbiar, solar terapung memberi kesan yang lebih baik berbanding solar di darat kerana penyejukan peralatan pada panel solar akan membantu keberkesanan peralatan tersebut.
“Apabila cuaca panas dan tiada sistem bantuan yang menyejukkan udara di sekeliling akan menyebabkan penghasilan tenaga menjadi kurang kerana yang menghasilkan tenaga bukan haba, tetapi sebaliknya adalah cahaya,” jelasnya.
Dengan itu, pemasangan panel tenaga solar di air memberikan kesan minimum kepada alam dan menjimatkan penggunaan tanah yang digunakan untuk tujuan pertanian.
Tambah beliau, walaupun tenaga solar tersebut berfungsi di tasik, namun tidak akan mengganggu ekosistem tasik tersebut.
“Ikan-ikan tidak akan terjejas. Begitu juga dengan rumpai. Ekosistem masih kekal seperti biasa, cumanya kita akan pastikan rumpai-rumpai tersebut tidak menutupi permukaan solar.
“Pihak kami sudah mengenal pasti beberapa tasik di Semenanjung yang boleh menjadi hab untuk pemasangan solar terapung.
“Kami memilih tasik berbanding sungai kerana airnya lebih tenang, tiada bayang-bayang, kurang reaksi manusia dan pergerakan angin yang lancar agar mencerap cahaya matahari dapat dilakukan secara maksimum,” jelasnya lagi.
“Pemantauan akan sentiasa dilakukan oleh pihak kami. Kos penyelenggaraan juga amat rendah kerana ada bahagian pada solar tersebut direka khas untuk mengurangkan taburan debu,” jelasnya.
Pembinaan solar terapung lebih menjimatkan kerana tiada kos untuk menebang pokok dan lebih mesra alam.
Penyelidik Kumpulan Pengoptimuman Loji Kuasa TNBR, Mohd. Azwan Rashid pula berpandangan bahawa sungguhpun teknologi ini sudah berkembang pesat di negara luar, ia agak susah untuk maju di negara ini kerana harga tanah lebih murah. Oleh itu, kerajaan lebih memilih untuk melaksanakan projek solar di atas tanah berbanding di air.
Sistem tenaga solar yang dipasang itu boleh diselaraskan ketinggian mengikut kedalaman sesebuah tasik selain tahan lasak dengan keupayaan menahan banjir terbesar dalam tempoh 100 tahun.
Selain itu, pelampung yang diguna pakai turut memiliki waranti sehingga 20 tahun untuk jangka hayat peralatan solar tersebut.
Justeru, beliau berharap kerajaan memandang usaha ini sebagai salah satu pendorong kepada kemajuan ekonomi negara sekali gus merealisasikan usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dengan memaksimumkan penggunaan teknologi hijau.
Semoga kerajaan terus menyokong usaha untuk mempromosi teknologi sedemikian secara berskala besar bagi kelestarian alam semulajadi untuk generasi hadapan.











