Masih terngiang tangisan, jeritan mangsa tanah runtuh - Utusan Malaysia

Masih terngiang tangisan, jeritan mangsa tanah runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MESKIPUN kejadian tanah runtuh yang mengorbankan 16 pelajar Madrasah Anak-anak Yatim Al-Taqwa telah lapan tahun berlalu, namun tangisan dan jeritan mangsa meminta pertolongan masih terngiang-ngiang di telinga Koperal Mohd. Izhar Md. Hashim, 31.

Manakan tidak, berikutan tragedi 21 Mei 2011 itu, Mohd.Izhar bersama rakan-rakannya daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terlibat membantu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh berkenaan.

Bercerita mengenai operasi tersebut, Mohd. Izhar memberitahu, dia bersama rakan sepasukannya ketika itu perlu membawa keluar mangsa yang tertimbus dan terperangkap dalam runtuhan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun katanya, hujan berterusan mengakibatkan pergerakan tanah di lokasi runtuhan dan menyebabkan operasi SAR perlu dihentikan seketika manakala pasukan keselamatan dan orang awam dilarang memasuki kawasan tersebut.

Menurutnya, keadaan ketika itu agak tegang memandangkan ada orang awam yang mendesak untuk masuk ke kawasan runtuhan bagi mengetahui keadaan ahli keluarga mereka sama ada hidup atau sudah meninggal dunia.

“Keadaan di situ amat sibuk. Sepanjang jalan masuk ke kawasan runtuhan dipenuhi pihak keselamatan, media, ahli keluarga dan penduduk setempat yang mahu mengikuti perkembangan mengenai kejadian.

“Ketika itu terdengar tangisan ahli keluarga selain jeritan meminta tolong daripada mangsa yang masih terperangkap dalam runtuhan tersebut, namun saya dan pasukan tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan terpaksa menunggu kawasan terjejas selamat dimasuki,” katanya yang telah bertugas selama 11 tahun dengan APM.

Tambah Mohd. Izhar, apa yang menyedihkan ketika itu apabila suara jeritan sebahagian mangsa yang masih hidup tidak kedengaran lagi.

Sementara itu, turut berkongsi pengalaman bertugas selama 22 tahun bersama APM ialah Koperal Adi Putra Johari, 44.

Katanya, antara pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan ialah apabila dia nyaris maut terjatuh di atas bara api di tingkat satu sebuah stor penyimpanan kasut yang terbakar di Petaling Jaya pada 2009.

“Ketika itu kami perlu masuk ke tingkat dua stor berkenaan untuk memastikan tiada mangsa terperangkap, namun entah bagaimana struktur lantai yang kami pijak reput ekoran kebakaran di bahagian bawah.

“Alhamdulillah, nasib baik kami berundur. Kalau tidak sudah pasti kami jatuh ke atas bara api dan tidak tahulah bagaimana nasib kami,” ujar anak kelahiran Perak ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini