Sebanyak tiga syarikat perusahaan kecil dan sederhana memeterai MoU.

Tiga syarikat Malaysia meterai MoU RM100 juta 

MAJLIS menandatangani kerjasama antara syarikat PKS Malaysia dengan rakan dagangan mereka di Ekspo Dubai 2020.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak tiga syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia memeterai memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM100 juta dengan tiga rakan niaga antarabangsa berpotensi pada acara Ekspo Dubai 2020, semalam.

MoU pertama antara syarikat Malaysia, Fario Holdings Sdn. Bhd. dan Miko Koffie NV dari Belgium akan menubuhkan syarikat usaha sama bagi tujuan penubuhan fasiliti pemprosesan kopi, pembungkusan, dan pengedaran.

MoU kedua antara Govicle Sdn. Bhd. dan Six Day Company LLC adalah untuk memasarkan dan mengembangkan penyelesaian mobiliti pintar Govicle di Timur Tengah manakala PropEasy Sdn. Bhd. dan Mahaley Marketing and PR EST adalah berhubung usaha pemasaran dan mengenal pasti prospek perniagaan dalam Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Syarikat tempatan terbabit adalah sebahagian daripada 17 syarikat permulaan dan PKS berprestasi tinggi yang menyertai delegasi Malaysia ke Ekspo 2020 Dubai – Minggu PKS Malaysia yang diketuai oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi SME Corp sebagai agensi pelaksananya.

Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Suriani Ahmad berkata, penglibatan kementerian di acara perdagangan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membangkitkan semula peranan syarikat permulaan dan PKS sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara menerusi sokongan serta kerjasama dengan pelabur dan rakan perniagaan yang berpotensi.

“Ini akan membantu di dalam mempertingkatkan ekosistem permulaan bagi memenuhi keperluan industri global,” katanya.

Menurut MEDAC, fokus industri yang diketengahkan melalui syarikat permulaan dan PKS pada kali ini adalah teknologi kecerdasan buatan (AI) dan Inovasi, perubatan dan kesihatan serta perkhidmatan berkaitan dron.

Di samping itu, syarikat yang mengambil bahagian dalam Ekspo akan terlibat secara langsung dalam aktiviti dianjurkan di Pavilion Malaysia seperti sesi padanan perniagaan, sesi pengenalan perkhidmatan dan produk serta penyampaian perniagaan kepada bakal pelabur.

Sementara itu, dalam usaha meningkatkan sinergi penglibatan MEDAC secara bersama dengan Expo 2020 Dubai, dua program tambahan dilaksanakan serentak, iaitu Misi Pecutan Eksport dan Program Eksport Perniagaan 2.0 oleh SME Bank yang melibatkan 11 PKS Bumiputera dan Program Penglibatan Francais oleh Pernas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN