Pas sudah berubah, ketepi perlembagaan?

Pas sudah berubah, ketepi perlembagaan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA tidak mengenali secara peribadi mana-mana pemimpin tertinggi Pas. Perkembangan yang menyelubungi Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali menjadi satu isu umum.

Ini kerana apa yang berlaku ke atas Mohd. Khairuddin mahupun mana-mana pemimpin tertinggi Pas tidak memberikan apa-apa impak ke atas pihak tidak berkepentingan seperti saya. Begitupun, apabila diteliti lebih mendalam dengan Perlembagaan Pas, maka perkembangan mutakhir membabitkan Mohd. Khairuddin sebenarnya amat wajar dianalisis secara mendalam kerana mampu memberikan impak ke atas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Isu pemecatan Mohd. Khairuddin sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pada 12 Januari lalu dan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas pada 10 Februari lalu tidak boleh dilihat sebagai isu individu semata-mata. Isu ini melibatkan perkara utama yakni dasar parti itu, Islam, selain kesediaan menjadi sebuah parti politik yang menjalankan segala aktiviti mengikut undang-undang negara.

Jika isu pemecatan Mohd. Khairuddin dibuat tidak mengikut kehendak ajaran Islam serta bercanggah dengan perlembagaan parti, maka sudah pastilah keupayaan Pas untuk melaksanakan mengikut Perlembagaan Persekutuan akan dipersoalkan terutama pengundi muda nanti.

Mengikut kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang (Presiden) ketika ditanya pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila pada 14 Januari lalu, pemecatan Mohd. Khairuddin berpunca daripada masalah disiplin. Malangnya, tidak ada sebarang pernyataan rasmi dibuat oleh mana-mana pemimpin tertinggi Pas mengenai bentuk pelanggaran disiplin yang telah dilakukan oleh Mohd. Khairuddin.

Banyak pihak menyebut ada kemungkinan pelanggaran disiplin ini membabitkan beberapa isu hangat yang pernah dimainkan di media sosial sewaktu Mohd. Khairuddin menjadi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dahulu.

Bagaimanapun, andaian meluas punca sebenar adalah kerana beliau dikatakan bersifat pro-UMNO dan Muafakat Nasional dan anti-Perikatan Nasional. Isu ini dinafikan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Meskipun begitu, akhirnya tidak menyelesaikan apa-apa masalah kerana diketahui umum pelanggaran disiplin ini tidak pernah dikemukakan untuk dibincangkan di mana-mana peringkat parti mengikut prosedur ditetapkan.

Apabila dinyatakan Mohd. Khairuddin telah melanggar disiplin sehingga dipecat daripada jawatan sedangkan beliau tidak pernah dipanggil oleh Jawatankuasa Tatatertib Pas untuk diberikan ruang dan peluang membela diri, ini adalah satu kezaliman dan bercanggah dengan perlembagaan parti.

Pemecatan Mohd. Khairuddin sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas juga terang-terang bercanggah dengan Fasal 8 (5) Perlembagaan Pas. Sebab-sebab yang membolehkan Majlis Syura Ulama Pas memecat sesiapa sahaja daripada menjadi ahlinya juga bukan sembarangan khususnya melibatkan keadilan dan maruah seseorang ahli.

CUBAAN SONGSANG

Konsep undang-undang the power to hire includes the power to fire atau pihak yang melantik mempunyai kuasa memecat, tidak terpakai dalam konteks ini bila kuasa memecat telah diperuntukkan dengan jelas oleh perlembagaan parti dipunyai oleh Majlis Syura Ulama Pas. Malah, disebabkan kuasa memecat ahli-ahli dipunyai oleh Majlis Syura Ulama Pas, maka pada 2015 dahulu sekumpulan peguam dalam Pas yang kini keluar parti mahu meminda Perlembagaan Pas bagi memberikan kuasa ini kepada pihak melantik.

Cubaan tersebut yang bermotifkan hasrat untuk membolehkan Majlis Syura Ulama Pas dikuasai oleh Jawatankuasa Kerja Pas Pusat gagal kerana mereka sendiri akhirnya kalah dalam pemilihan pada 2015.

Maka kini amatlah pelik bila cubaan songsang untuk membolehkan Majlis Syura Ulama Pas dikuasai oleh Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang telah ditolak oleh parti pada 2015 dahulu sedang diguna pakai oleh pihak tertentu walaupun ia tidak berperlembagaan.

Perlu diingat, sebarang cubaan mana-mana pihak yang berada di luar Majlis Syura Ulama Pas untuk memberikan apa-apa tafsiran baharu ke atas mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Pas sudah pastilah akan menemui kegagalan.

Ini kerana mengikut Fasal 8 (1) (a) Perlembagaan Pas juga, hanya Majlis Syura Ulama Pas diberi kuasa menghurai, menjelas dan mentafsir dasar dan mana-mana peruntukan yang menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya. Begitu juga Fasal 91 (1) yang memperuntukkan segala perkara berbangkit dan perselisihan faham dan pendapat hendaklah dirujuk kepada Majlis Syura Ulama Pas dan keputusannya adalah muktamad.

Ketertinggian Majlis Syura Ulama Pas juga terlihat dalam Fasal 91 (2) yang memperuntukkan hanya Majlis Syura Ulama Pas yang berkuasa membuat sebarang keputusan atas perkara-perkara yang tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan Pas. Ini berbeza dengan kedudukan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang hanyalah badan pelaksana kepada apa-apa dasar diputuskan oleh Majlis Syura Ulama Pas sebagai badan yang diberi kuasa oleh Perlembagaan Pas bagi menghurai, menjelas dan mentafsir dasar.

Sebab itulah dalam Fasal 26 (1) termaktub yang tugas Presiden Pas hanyalah sebagai ketua bagi melaksanakan pentadbiran, gerakan dan kegiatan mengikut dasar yang diperuntukkan perlembagaan dan yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulama Pas.

Inilah sebenarnya teras utama konsep kepimpinan ulama dalam Pas, iaitu kepimpinan secara kolektif ulama di dalam Majlis Syura Ulama Pas, bukannya kepimpinan secara individu mana-mana ulama di dalam Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, waima Presiden sekalipun.

Kepada ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin Pas yang benar-benar sayangkan parti, perjuangkanlah dasar dan pastikanlah segala tindakan dibuat oleh mana-mana badan dalam parti tidak bercanggah dengan perlembagaan.

Amat besar musibah yang bakal melanda Pas jika dibiarkan isu ini berlarutan, sudah pasti akan memberi kesan kepada parti dalam PRU15 nanti. – UTUSAN

DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×