JOHOR BAHRU: Naib Pengerusi PKR Johor, S. Gopalakrishnan yakin dapat mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor walaupun didakwa gagal menjalankan tugas sebelum ini.
Berbekalkan majoriti kemenangan 8,098 undi sebelum ini, Gopalakrishnan percaya perkara itu menjadi sandaran kepercayaan parti yang diletakkan di bahunya untuk memberikan kemenangan kepada PKR dan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, isu yang berlegar berkaitan dirinya seperti yang disuarakan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak menjejaskan kredibiliti beliau di kawasan itu.
“Isu Syed Saddiq mendakwa saya tidak menjaga kebajikan masyarakat India di kawasan itu tidak benar dan saya menafikan semua dakwaan itu.
“Jadi, tak timbul isu itu menjejaskan kredibiliti saya memandangkan saya telah menjalankan gerak kerja sejak setahun lalu ketika pimpinan Barisan Nasional (BN) kerap kali mengugut untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya.
“Dengan dinamakan sekali lagi sebagai calon, saya bersedia untuk bertempur. Pastinya bukan senang, saya harap pengundi lama akan terus memilih saya agar kekal mewakili mereka di DUN Tiram,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Calon PKR Johor Zon Selatan yang disempurnakan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini semalam
Selain Gopalakrishnan, turut diumumkan PKR sebagai calon ialah Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Fakhruddin Moslim di DUN Pasir Raja, Arthur Chiong Sen Sern (Bukit Batu), Napsiah Khamis Maharan (Kempas) dan Dr. Zamil Najwah Arbain (Larkin).
Pada PRU14, Gopalakrishnan meraih 26,573 undi menewaskan Datuk Maulizan Bujang (BN-18,475) dan Azman Atmin (Pas-5,366) setelah memperoleh 8,098 majoriti.
Mengulas lanjut, Gopalakrishnan berkata, pihaknya telah melaksanakan pelbagai program bagi menyantuni golongan pengundi muda untuk meraih. – UTUSAN










