JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad menegaskan, kerajaan negeri tidak boleh dikekalkan sehingga tamat penggal pada tahun hadapan kerana ia merugikan Johor dan rakyat negeri itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Hasni berkata, beliau boleh sahaja terus berada di ‘kerusi empuk’ sebagai menteri besar tetapi asas kestabilan yang menjadi faktor pertumbuhan ekonomi merupakan perkara yang harus dititikberatkan.
Katanya, kerancakan pembangunan hanya dapat dinikmati jika Johor memiliki sebuah kerajaan negeri yang kukuh dan disebabkan itu Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu disegerakan.
“Hendak mengadakan PRN ini bukan sebab saya terpaksa dan terdesak tetapi langkah itu diambil demi kestabilan negeri Johor kerana kita mahu terus bergerak ke hadapan lagi.
“Kalau saya terus tunggu setiap hari selama 481 hari bermula 22 Januari lalu iaitu sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan sehingga tamat penggal (ke-14) tahun depan itu merugikan rakyat.
“Boleh sahaja saya tunggu, lama tu (sehingga terbubar sendiri)… seronok duduk di pejabat. Orang panggil Yang Amat Berhormat, orang panggil Menteri Besar tetapi merugikan rakyat,” tegasnya dalam pertemuan di Saujana Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini kelmarin.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan melabel Hasni sebagai ‘Menteri Besar gagal’ kerana didakwanya gagal mengemudi Johor yang mempunyai satu kerusi majoriti sahaja hingga memilih untuk membubarkan DUN.
Sementara itu, tegas Hasni yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Wan Saiful sebaliknya perlu melihat kegagalan mereka sewaktu menjadi kerajaan dalam Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan dan peluang presiden parti mereka menjadi Perdana Menteri di bawah Perikatan Nasional (PN) yang berusia 17 bulan.
Katanya, Wan Saiful sepatutnya perlu mengingatkan partinya sendiri mengenai kegagalan mereka sejak mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) apabila tidak melakukan apa-apa pun melainkan mencari alasan mengapa manifesto gagal dilaksana.
“Ketika saya ambil alih (28 Februari 2020), kita berdepan ancaman Covid-19 dan perintah kawalan yang menyekat pergerakan. Bisnes terpaksa tutup sejak tahun pertama (2020) dan disambung lagi selepas itu.
“Malah, sampai sekarang pun kita masih berdepan kekangan sempadan yang belum dibuka dan kemasukan pelaburan juga belum berlaku. Tetapi, dalam konteks Johor meskipun kita terpaksa kurangkan hasil negeri sehingga 20 peratus namun perbelanjaan kepada rakyat tidak pernah gagal,” katanya.
Hasni berkata, tidak mungkin perkara itu dapat dilakukan tanpa pengurusan kerajaan yang cekap termasuk memperuntukkan RM1.4 bilion hasil negeri untuk kesejahteraan rakyat ekoran impak pandemik Covid-19.
Tambahnya, beliau hanya bersetuju dengan terma ‘gagal’ sekiranya mereka merujuk kepada tiada perbincangan sebelum membubarkan DUN kerana baginya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah memberi amaran boleh menekan ‘butang’ juga tidak akan berunding dengannya jika mahu.
Katanya, Muhyiddin ketika menjadi Menteri Besar Johor tidak pernah berdepan situasi kerusi pembangkang hampir seimbang dengan kerajaan, tetapi menempuh perkara itu semasa bergelar Perdana Menteri kelapan yang akhirnya terbukti tidak mampu bertahan.
“Beliau pernah dua kali melepasi pilihan raya tanpa seorang pembangkang pun dalam DUN dan saya dapat rasakan macam mana rancaknya pembangunan sekiranya kerajaan kukuh. Sudah terbukti kerajaan stabil cukup mudah untuk menarik pelabur kerana Johor banyak kelebihan,” katanya.- UTUSAN











