Sekembalinya di tanah air setelah menamatkan pengajian sarjana muda pengkhususan Usuluddin di Mesir, beliau diajak seorang sahabatnya mencuba nasib bergelar seorang mutawwif di salah sebuah syarikat agensi pengurusan umrah dan haji terkenal.
Siapa sangka, detik itulah akhirnya yang menjadi titik permulaan buat Muhammad Afif Ab. Arif, 32, menceburi bidang yang didalami sejak lapan tahun yang lalu.
Pekerjaan itu disifatkan sebagai tugas mulia kerana dapat menyantuni Duyuffur Ar Rahman, menerusi bimbingan menunaikan ibadah umrah atau fardu haji agar lebih tersusun.
Berkhidmat sebagai mutawwif sepenuh masa di Emraz Travel & Tours Sdn. Bhd. dia beranggapan mutawwif boleh digelar sebagai duta kecil atau barisan hadapan dalam sesebuah organisasi.
“Kami berperanan sebagai pembimbing yang mahir mengenai selok belok fiqh ibadah umrah atau haji. Sudah pasti kami perlu mengetahui segala ilmu pengurusan berkaitan haji dan memiliki kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Arab supaya perjalanan ibadah lebih lancar dan teratur,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berpengalaman sebagai imam ketiga secara sambilan di Masjid Kariah Batu 10 Cheras selain kerap menerima undangan menyampaikan kuliah bulanan maghrib di pelbagai masjid. Malah turut rajin diundang sebagai moderator dan penceramah dalam program utama anjuran masjid berkenaan.
Muhammad Afif memberitahu, segala perincian maklumat bersangkutan jemaah di tanah suci akan disampaikan kepada mutawwif terlebih dahulu. Lantaran itu, amat penting bagi mutawwif untuk mengambil cakna kepelbagaian keadaan atau situasi semasa termasuklah aspek kesihatan.
Bekas alumni Darul Quran ini berkata, mutawwif perlu bijak menangani keadaan dan tidak panik.
Mengulas mengenai cabaran, katanya antara biasa dihadapi ialah membabitkan slot penerbangan, syarikat pengusaha bas, hotel penginapan, pihak berkuasa tempatan dan sebagainya.
“Kami turut mengurus jemaah berusia atau uzur yang jelas memerlukan lebih pemerhatian,” katanya.
Tidak menafikan kebanyakkan mutawwif adalah dalam kalangan lelaki kerana lebih sesuai dengan fitrah dalam melaksanakan tugasan itu di Tanah Suci.
“Lelaki berupaya mengendalikan sebarang permasalahan yang timbul dengan mencari jalan penyelesaian berhikmah,” katanya.
BIMBING KELUARGA
Kelebihan utama mutawwif sudah tentulah kekerapan menziarahi makam Rasulullah SAW. Ia secara tidak langsung akan melahirkan rasa kerinduan yang tidak berbelah bahagi kepada para mutawwif untuk datang ke tanah suci.
Muhammad Afif menjelaskan, dia bekerja mengikut sistem jadual penggiliran, namun bergantung kepada pihak syarikat dan keupayaan mutawwif itu sendiri.
“Sekiranya dikurniakan tahap kesihatan yang baik dan berkelapangan, secara puratanya seorang mutawwif itu berupaya melakukan antara lima hingga lapan kali membimbing jemaah dalam setahun,” katanya.
Lulusan Sarjana Usuluddin dari Universiti Malaya (UM) ini memberitahu antara pengalaman berharga ialah apabila berpeluang membimbing ahli keluarga sendiri khususnya ibu bapanya, Ab. Arif Said dan Siti Zabedah Abd Ghani melakukan tawaf di Baitullah dan saie antara Bukit Safa dan Bukit Marwah seterusnya melengkapkan ibadah haji dan umrah bersama, sekitar tahun 2017.
“Kenangan itu amat mengharukan. Namun cukup manis untuk dikenang seumur hidup saya,” kata anak bongsu daripada empat orang adik beradik ini.
PENGARUH PANDEMIK
Mengulas mengenai situasi pandemik, katanya pada awal penularan Covid 19, dia akur tidak dapat keluar mencari rezeki kerana pintu sempadan ditutup dan penerbangan terpaksa dibatalkan.
Namun semasa perintah kawalan pergerakan (PKP 1.0) , pihak syarikat membantu dirinya mencipta peluang menjual produk makanan sunnah yang dihasilkan syarikat iaitu kurma yang terdiri pelbagai jenis seperti Ajwa , Sukkari dan Rutob.
“Setelah pintu sempadan dibuka, ibadah fardhu haji dan umrah boleh dilakukan namun Kerajaan Arab Saudi telah menetapkan pelbagai bentuk prosedur operasi standard ( SOP) terbaru yang memerlukan kemahiran jemaah menggunakan aplikasi di telefon pintar untuk masuk ke masjid haram atau Nabawi dan menempah slot umrah.
“Sebagai seorang mutawwif adalah menjadi harapan buat saya dapat membimbing jemaah ke arah kesempurnaan ibadah haji atau umrah dengan membawa kesan yang baik apabila mereka pulang ke tanah air nanti selain dikurniakan mabrurah,” katanya.
KELUARGA PENDORONG
Hasil perkahwinan dengan Nabilah Syaza Mohamad Shukri, 31, pasangan ini dikurniakan sepasang cahaya mata Muhammad Nawfal, 4 tahun dan Nawrah Aleeya, 2 tahun.
Katanya walaupun pekerjaannya itu nampak sibuk dan padat tetapi ada keanjalan masa buat dirinya.
“Saya boleh membahagikan masa antara keluarga dan pekerjaan yang lain kerana tempoh keberadaan di Malaysia boleh di aturkan masa mengikut kesesuaian saya,” katanya.
‘Bapa idola saya’
Muhammad Afif menjadi mutawif pada usia 24 tahun.
Pembabitannya dalam pekerjaan itu banyak dipengaruhi dorongan keluarga, khususnya bapanya.
“Keluarga, khususnya bapa saya sangat tegas mendidik anak dengan menerapkan kepentingan agama dalam kehidupan seharian. Pendorong utama saya sudah semestinya bapa yang banyak memberikan galakan kepada saya untuk menjadi mutawwif,” katanya.
Beliau turut menasihati mereka terutama anak muda yang ingin menjadikan mutawwif sebagai pilihan prospek kerjaya hendaklah mempunyai ilmu yang tinggi khususnya fiqh umrah, sirah dan pengurusan haji atau umrah.
“Selain itu minat dan kesungguhan serta kesabaran tinggi dalam berurusan dengan jemaah mampu mendorong seseorang itu bergelar seorang mutawwif yang berjaya pada suatu hari nanti,” katanya.
Mengenai perancangan masa depan, Muhammad Afif berkata dia kini sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat doktor falsafah ( PHD) dalam bidang Al Quran di Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Saya bercita-cita ingin berkongsi segala ilmu kepakaran dan manfaat dalam bidang Al Quran kepada umat Islam,” katanya.









