Sumpah laknat tidak ganggu siasatan polis - Utusan Malaysia

Sumpah laknat tidak ganggu siasatan polis

KAMARUL ZAMAN MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tindakan seorang wanita yang membuat pengakuan sumpah laknat mendakwa dirinya dicabul bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili tidak mengganggu siasatan dijalankan polis berhubung laporan yang dibuat sebelum ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat memberitahu, ketika ini siasatan terperinci berhubung perkara tersebut yang dibuat oleh wanita itu masih lagi dijalankan.

“Kita akan siasat dakwaan itu, (sumpah laknat ) tidak ganggu siasatan kerana itu tindakan peribadi dia. Namun kita akan terus siasat secara adil dan saksama,” katanya pada sidang akhbar selepas Operasi Samseng Jalanan di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Semalam, Ahli Jawatankuasa Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kota Tinggi, Nursyafiqah Badsulhisham, 27, membuat pengakuan secara bersumpah berhubung dakwaan dia dicabul bekas ADUN kawasan itu, Rasman Ithnain.

Ibu kepada seorang anak itu berkata, susulan detik hitam itu, dia berasa malu untuk keluar rumah bertemu masyarakat dan mengalami tekanan emosi sehingga kemurungan dan lebih menyedihkan katanya, ada yang beranggapan perbuatan terkutuk itu hanya rekaan semata-mata yang cuba menfitnah ADUN terbabit.

“Pada awalnya, saya tidak mahu membuat laporan polis kerana mahu menjaga aib namanya serta nama baik parti namun kejadian itu terus berulang lagi. Saya fikir jika saya tidak berbuat sesuatu, perbuatan keji itu akan terus berlarutan dan mungkin dia (Rasman) akan bertindak lebih melampau lagi selepas itu,” kata Nursyafiqah.

Sebelum ini, Kamarul Zaman memberitahu kertas siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual membabitkan ADUN berkenaan telah dilengkapkan dan diserahkan kepada Bahagian Perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Seramai 11 individu telah dipanggil untuk memberi keterangan membabitkan kes berkenaan termasuk wanita tersebut dan juga bekas ADUN berkenaan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora mengesahkan pihaknya menerima laporan yang dibuat wanita terbabit di Balai Polis Kota Tinggi pada 17 Januari lalu.

Menerusi laporan polis yang tular di media sosial, dia mendakwa diganggu secara seksual ketika hadir ke program dihadiri Rasman bermula kejadian pertama pada 2 Januari lalu sebelum berulang pada 3 dan 12 Januari, namun mendiamkan diri kerana takut berlaku perkara tidak diingini dan mengambil kira status pelaku.

Mangsa kemudiannya hanya membuat laporan polis selepas mendakwa diraba di bahagian sulit pada kejadian terakhir yang didakwa berlaku pada 13 Januari lalu.

Rasman yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kota Tinggi turut pernah menafikan tuduhan gangguan seksual yang dikaitkan dengan dirinya dan mendakwa ia konspirasi politik dan cubaan untuk menjatuhkan maruahnya serta mencalarkan reputasinya selaku wakil rakyat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini