‘Lompat lebih tinggi’ sampai bila-bila... - Utusan Malaysia

‘Lompat lebih tinggi’ sampai bila-bila…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KRISIS sebenarnya menunjukkan watak seseorang. Sewajarnya apabila ada krisis, bangkitlah selesaikan. Inilah hikmahnya. Ia membolehkan kita faham perjuangan sebenar parti politik yang dianggotai.
Bukannya menempel untuk raih peluang. Ada yang selepas bertukar kerajaan, terus `tukar baju’. Okey, tak apa, kita faham. Cuma loncat parti ini akibatnya ada. Ini baik untuk mana-mana parti termasuk jugalah UMNO untuk membolehkan reset balik parti. Apa lagi buat UMNO, yang dari 79 kerusi parlimen Barisan Nasional (BN) dimenangi dalam PRU14, menyusut berdikit-dikit menjadi 41 sahaja. Lebih malang buat UMNO, dari 54 kerusi berbaki 38 sahaja akibat pukulan lompat ini.
Apa nasib pelompat parti dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor yang akan dilangsungkan 12 Mac depan? Tidak perlu dicatatkan dalam kolum ini siapa mereka kerana orang parti dan pengundi tahu siapa mereka. Dan parti mana yang dipenuhi ramai kumpulan sebegini.
Bila kamu sudah lompat parti, `kesetiaan’ itu sudah melayang – politik korup. Ada satu dua kisah bila digodak balik sejarah akan terjumpa mereka yang berani dan menunjukkan skil seorang ahli politik. Tan Sri Shahrir Samad. Bila UMNO Baharu pun tidak suka dirinya dan UMNO (Lama) pun demikian juga, lantas pada Ogos 1988, beliau mengosongkan kerusi Parlimen Johor Bahru dan bertanding semula atas tiket Bebas dengan menggunakan lambang ‘kunci’ dalam satu pilihan raya kecil. Shahrir menang semula kerusi itu dengan majoriti 12,613 undi mengalahkan calon BN yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Allahyarham Cikgu Mas’ud Abd Rahman.
Begitulah dalam politik mana-mana negara pun, isu `imbuhan’, lupa diri, lupa daratan, kacang lupakan kulit dan macam-macam istilah buruknya pasti kedengaran. Dilaporkan.

10 KALI LOMPAT
Tapi saya lebih cenderung kepada analogi bak kata pepatah Inggeris ini: One swallow does not make a summer (Takkanlah dek kerana seekor burung lelayang, kita merasakan musim panas sudah tiba?)
Atau peribahasa Melayu menyebut: Janganlah kerana mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan.
Demikian konflik politik Melayu terjadi disebabkan soal kuasa. Ia barangkali banyak berkisar senario politik di Malaysia yang lebih bersifat menyerang atau menjatuhkan seseorang untuk memastikan kedudukan terpelihara.
Begitupun sehingga kini politik Melayu masih menjadi sendi dan tiang seri kepada politik negara.
Cuma nak pegang ketat-ketat pepatah ‘terapung sama hanyut, terendam sama basah’ kepada parti yang pernah meletakkan seseorang ke puncak kuasa bukannya semudah kata-kata.
Kalau ikutkan Profesor Dr. Jayum Jawan Empaling, lompat parti tak ada hal asalkan pelakunya deliver kepada rakyat.
Katanya, seseorang wakil rakyat mesti memberanikan diri untuk berubah. Cuma jangan janji setinggi langit. Mahukan Malaysia mesti bersatu padu di dunia, bercakap soal dasar sedangkan orang kampung dan luar bandar hanya mahukan bekalan air bersih. Maka kata Jayum, “anda mahu lompat lima kali, 10 kali pun tak mengapa, asalkan deliver. Itu kata Jayum lagi suatu pemikiran rasional dan praktikal.
Namun kalau dibawa senario politik semasa hari ini, si pelaku lompat parti biasanya menemukan titik noktahnya.
Kalau diambil contoh tiga PRN sejak 9 Mei 2018, pelompat parti tersungkur di tangan pengundi. Hanya di PRN Sabah 26 November sekerat dua `terselamat’, dua lagi PRN menyusul, mereka terbabit `ditalkinkan’. Daripada 14 ADUN yang menjatuhkan kerajaan Warisan Julai 2020 setelah beralih ke kem Tan Sri Musa Aman sehingga membawa pembubaran DUN, hanya empat yang menang dalam PRN negeri itu. Tiga tak bertanding.
Di Melaka 20 November 2021, tiga daripada empat ADUN yang menjadi punca pembubaran DUN hingga menyebabkan PRN terpaksa diadakan dan kemudian lompat, kalah di kerusi-kerusi ditandingi. Seorang lagi tidak bertanding.
Sarawak pada 18 Disember tahun lepas turut menyaksikan pelompat parti sukar mendapat tempat. Daripada tiga wakil rakyat PKR cabut lari ke parti lain setelah menang PRN 2016, hanya Baru Bian (Ba’Kekalan) yang selamat.

BAI’AH
Suatu ketika parti yang paling memekik menentang hal lompat ini adalah Pas sampai `diperkenalkan’ bai’ah talak tiga dikatakan khusus untuk Kelantan sahaja.
Bai’ah ini muncul apabila Pas Kelantan dalam PRU11 pada 21 Mac 2004 menyaksikan setelah 14 tahun memerintah di negeri itu, melalui episod paling getir dalam sejarah pentadbirannya. Genting sehingga memaksa pemimpin Pas ketika itu memasukkan kandungan sumpah bai’ah yang boleh melafazkan talak tiga ke atas isteri wakil-wakil rakyat parti itu.
Dalam PRU tersebut, Pas hanya dapat mengekalkan kuasa dengan majoriti tipis dua kerusi, iaitu 24 kerusi Pas berbanding 21 kerusi UMNO/BN). BN semasa itu memenangi 198 kerusi parlimen berbanding cuma 20 kerusi diraih gabungan parti pembangkang, dengan satu calon bebas.
Ia merupakan majoriti terbesar diperoleh BN sejak pilihan raya 1978.
Senario kenapa PRN Johor perlu disegerakan lebih kurang sama dengan keputusan diambil Pengerusi Gabungan Parti Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Kepada ketua menteri itu, faktor, sebab dan kuncinya kerana mengejar kestabilan dan kemakmuran Bumi Kenyalang.
“Kalau you restrict pun susah juga tapi mesti ada integriti, balik kepada integriti. Kalau you ada integriti, apa juga masalah, you ada prinsip, teruskan. Kalau lompat-lompat mana ada integriti. Kalau pun tak dapat dua pertiga (melalui PRN), sekurang-kurangnya you punya margin itu besar. Kalau you margin dua tiga orang, yang tiga orang (lompat) habis,” kata Abang Johari kepada akhbar ini Disember lepas.
Perkara biasa dalam politik, seseorang itu lupa sehinggakan kepentingan parti dibelakangkan. Kata orang Negeri Sembilan, jenjang dinaiki, tangga dituruni. Duduk atas jenjang jangan lupa tangga kerana tangga itulah yang membawa kita naik.
Tetapi banyak duduk atas jenjang sampai lupa siapa dirinya. Lupa dia naik dulu sebab parti yang julang dia. Bila ada jawatan, lupa parti sampaikan hendak jawatan, kuasa dan popularkan diri sendiri sehingga sanggup lompat parti.
Dan bila melihat agihan kerusi dalam kalangan `lawan yang kini kawan, pelompat yang kini penyelamat’ di ambang PRN Johor, teringat akan kita adegan filem Nujum Pak Belalang terbitan tahun 1959, di mana dua pelakonnya, Allahyarham Aziz Sattar (Badan) sedang membahagikan barang rompakan (duit syiling) dengan Allahyarham S.Shamsuddin (Nyawa) dalam gua.

Badan: 1 untuk engkau, 1 untuk aku. 2 untuk engkau, 2 untuk aku. 3 untuk engkau, 3 untuk aku. Lepas tiga berapa??
Nyawa: Hentam sajalah…
Badan: Hentam sajalah untuk engkau, hentam sajalah untuk aku. Lepas hentam sajalah??
Nyawa: Bedal daa…
Badan: Bedal daa untuk engkau. Bedal daa untuk aku. Lepas bedal daa??…

Terselamatkah pelompat parti dalam PRN siri empat ini?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×