Wanita selalu betul? - Utusan Malaysia

Wanita selalu betul?

Banyak tips keibubapaan di kongsi di media sosial, berapa banyak yang kita praktikkan? Adakah kita baca, share dan praktik atau sekadar memenuhi wall sahaja? - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bila kali terakhir kita bercakap dengan anak-anak mengenai keinginan dan impian mereka?

Berapa ramai daripada kita bercakap dengan anak-anak sebelum mereka masuk tidur? Atau kita lebih suka menatap telefon pintar berbanding menatap wajah anak dan suami sebelum lena?

Banyak tips keibubapaan di kongsi di media sosial, berapa banyak yang kita praktikkan? Adakah kita baca, share dan praktik atau sekadar memenuhi wall sahaja? Tepuk dada tanya selera, kita sahaja yang tahu jawapannya.

Isu ini saya bangkitkan kerana rasa sedih yang teramat mengenai insiden remaja menikam bayi yang baru dilahirkan dalam suatu kejadian di Terengganu.

Tragedi itu seharusnya menyebabkan kita sebagai masyarakat malu dan segera mencari jalan penyelesaian.

Ibu muda itu mangsa kepada golongan dewasa yang sibuk dengan halnya sendiri. Dalam banyak keadaan kita lebih sibuk dengan urusan diri sendiri hingga tidak ambil kisah mengenai hal anak-anak.

Sudah makan atau tidak sebelum ke sekolah? Sempat tak memberikan kata-kata semangat untuk anak-anak sebelum melangkah keluar dari rumah.

Kita tahu tak anak-anak sudah akil baligh atau semuanya kita serahkan kepada sekolah atau orang lain?

Komunikasi dalam keluarga yang berfungsi secara baik akan sentiasa berkongsi isu dan perkara yang berlaku dalam keluarga.

Kesedihan, kegembiraan, kesakitan dan semua perkara yang berkait dengan ahli keluarga. Pemahaman mengenai bagaimana menangani isu yang dihadapi seharusnya dibincangkan dan dijelaskan agar semua ahli keluarga faham tentang sesuatu situasi.

Perbincangan mengenai sesuatu tindakan yang akan dilakukan sewajarnya dilakukan dan dipraktikkan di dalam keluarga. Janganlah nanti orang kata kita tidur sebantal dengan suami tetapi mimpi lain-lain.

Menjadi isteri tidak mudah kerana ia sarat dengan tanggungjawab. Kadang-kala kita pun tidak ada me time. Namun kalau kita lakukannya dengan ikhlas dan tidak berkira insya-Allah segala-galanya menjadi mudah.

Sekarang ini suatu frasa yang orang suka sebut ‘beras kita beli’ yang merujuk kepada tanggungjawab suami manakala ‘wanita selalu betul’ – merujuk kepada apa yang wanita buat semua betul.

Bangga ke dengan frasa itu walaupun apa yang kita buat itu salah dan tidak betul?. Kalau menang pun dapat apa? Barangkali hari ini frasa itu suatu senda gurau. Tetapi bagaimana dengan masa akan datang? Kita perlu tahu minda bawah sedar kita akan terpengaruh dengan kata-kata dan perbuatan yang biasa kita lakukan.

Frasa bersifat gender ini hanya akan mewujudkan benteng antara lelaki dan perempuan.

Elok-elok mahu mendapat persefahaman, lain pula jadinya.

——-
Nor Afzan Mohamad Yusof ialah Penolong Pengarang Berita, Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×